Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 3 April 2025 – Seramai 24 orang kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menamatkan Program Sijil Profesional Khidmat Sosial dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang khidmat sosial secara profesional.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan LZS yang mula dirancang sejak Januari 2024
Program ini melibatkan 13 jam kredit yang merangkumi enam kursus iaitu Prinsip dan Etika Perkhidmatan Sosial, Tingkah Laku Manusia dalam Persekitaran Sosial, Komunikasi Profesional dalam Perkhidmatan Sosial, Pengurusan Kes, Perundangan Sosial dan Kemahiran Membantu Komuniti.
Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub berkata program ini direka khusus untuk memperkasa kakitangan LZS dengan ilmu, kemahiran, dan nilai profesional dalam bidang kerja sosial, sejajar dengan keperluan masyarakat yang semakin kompleks dan mencabar.
“Khidmat sosial pada asasnya bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tetapi ia merupakan teras profesion kerja sosial yang berlandaskan komitmen tinggi untuk memartabatkan nilai kemanusiaan.
“Ia melibatkan usaha menyantuni mereka yang memerlukan, mengangkat maruah mereka yang terpinggir, membela hak mereka yang terabai, serta membuka ruang harapan kepada setiap individu, keluarga, dan komuniti yang memerlukan bimbingan, sokongan, dan peluang untuk membina kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LZS, Tuan Ahmad Fadhil Hassan berkata LZS sentiasa berusaha meningkatkan lagi kemahiran warga kerja dengan memfokuskan kepada kompetensi Pengurusan Kerja Sosial.
“LZS amat komited memikul tanggungjawab yang lebih besar di samping meningkatkan imej dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat yang telah mencapai lebih RM1 billion setahun.
“Selaras dengan objektif “Memperkasa Pengurusan Zakat”, LZS terus ke hadapan dalam usaha melahirkan para amilin ke arah ‘Amil Dinamik’ yang lebih cekap dan kompeten dari segi penguasaan pengetahuan berkaitan pengurusan kutipan dan agihan zakat,” katanya.
Program ini ditawarkan secara kerja kursus melalui kuliah fizikal sepenuh masa, dan direka untuk mengiktiraf kelayakan individu dalam bidang khidmat sosial.
Setiap kursus dikendalikan selama empat hingga enam minggu kuliah bermula Oktober 2024 sehingga Feb 2025.
