IVI Hargai Rakan Industri

Oleh Murniati Abu Karim
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Mei 2025 – Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan 10 rakan industri yang telah bekerjasama dengan institut tersebut dalam memajukan inisiatif merangkumi penyelidikan, inovasi dan latihan.

Pengarah IVI, Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir berkata majis ini adalah bagi mengiktiraf rakan industri yang sentiasa memberi sokongan kepada IVI khususnya, dan UKM, amnya dalam membentuk ekosistem akademia-industri yang mampan dan berimpak.

“Dalam dunia pendidikan tinggi masa kini, kerjasama erat antara universiti dan industri bukan lagi satu pilihan bahkan satu keperluan,” katanya.

Tambah beliau, melalui penganjuran ini, kedua-dua pihak berpeluang meneroka sinergi bukan sahaja dalam aspek penyelidikan dan inovasi, malah turut melibatkan latihan serta pembangunan bakat secara berterusan.

“Saya amat berharap agar jalinan kerjasama strategik ini akan terus diperkukuh. Kami terbuka untuk meneroka inisiatif baharu seperti pembelajaran berasaskan kerja, program kerjasama penyelidikan, geran industri, penganjuran bersama program komuniti, dan peluang pekerjaan kepada graduan.

“Kami juga berharap agar rakan industri dapat terus menjadi sebahagian daripada ekosistem akademia-industri yang bukan hanya sebagai penyumbang, tetapi sebagai rakan strategik dalam membina masa depan negara secara menang-menang.

“Semoga majlis hari ini menjadi simbol pengiktirafan dan penghargaan, serta titik-tolak kepada kolaborasi yang lebih agresif, konkrit dan hebat pada masa akan datang,” katanya.

Prof. Madya Dr. Rabiah turut menyeru agar rakan-rakan industri terus mempertimbangkan kerjasama dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan UKM.

Menurut beliau, peluang pekerjaan dan latihan industri yang ditawarkan akan memberi pendedahan awal serta pengalaman berharga kepada para pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.

Leave a Reply