26 Kakitangan SD Guthrie Berhad Terima Sijil Micro-Credential

PUTRAJAYA, 11 April 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB)  meraikan kejayaan 26 orang peserta dari SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dalam satu majlis penyampaian sijil Micro-Credential (MC) yang berlangsung di The Everly, Putrajaya.

Majlis ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian para peserta yang terdiri daripada kakitangan bukan eksekutif SD Guthrie yang telah berjaya menamatkan kursus  Micro-Credential Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (MC FKAB).

Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan berkata kursus itu merupakan pelaksanaan rintis kursus MC FKAB bersama SD Guthrie yang dikendalikan oleh UKMShape, membabitkan tiga kursus utama iaitu Kaedah Instrumentasi Kimia, Pembelajaran Mesin dan Automasi Pembuatan.

Beliau berkata setiap kursus telah dikendalikan selama lapan hingga 12 minggu  bermula pada 7 Oktober 2024 hingga 27 Disember 2024.

“Dalam usaha menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan modal insan, kursus Micro-Credential kini giat diteroka di Malaysia sebagai alternatif kepada program pengajian konvensional.

“Kaedah ini memberi peluang kepada pekerja industri dan komuniti untuk meningkatkan kompetensi, kemahiran dan kelayakan profesional selaras dengan perkembangan teknologi tanpa batasan masa dan kekangan syarat kemasukan yang terdapat dalam program konvensional diploma atau ijazah sarjana muda,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Tambah beliau kursus MC yang ditawarkan di UKM termasuk di FKAB, bukan sahaja mengiktiraf pembelajaran secara modular dan tersusun, malah membolehkan penebusan kredit kursus dilakukan sekiranya peserta memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dengan tempoh masa yang lebih singkat.

“Ini membuka peluang laluan fleksibel ke arah pengijazahan, sekaligus menjadikan pembelajaran lebih inklusif dan bersifat masa hadapan,” katanya.

UKMShape kini menawarkan dua bentuk pelaksanaan MC iaitu secara mandiri (standalone) seperti yang dilaksanakan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) dan  melalui pecahan kursus sedia ada kepada beberapa modul seperti pendekatan FKAB.

Kursus-kursus MC FKAB itu diselaraskan dengan kursus-kursus daripada program kejuruteraan sedia ada yang diiktirafkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia, sekaligus meningkatkan nilai kebolehpasaran dan mobiliti pembelajaran peserta.

UKM berharap agar usaha itu menjadi titik tolak kepada pelaksanaan MC yang lebih meluas bukan sahaja untuk warga SD Guthrie, malah terbuka kepada peserta luar yang berminat meningkatkan ilmu dan kemahiran secara profesional.

Leave a Reply