Oleh Aqilul Na’im Fitri Abd Kader
Foto Institut Alam dan Tamadun Melayu
KUALA LUMPUR, 12 April 2025 – Pertandingan Mewarna Seni Ragam Hias Mushaf al-Qur’an Alam Melayu Peringkat Kebangsaan 2025/1446H mengajak generasi muda mengenali seni mushaf al-Qur’an alam Melayu.
Program ini merupakan anjuran Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM) di bawah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).
Pertandingan yang mendapat penyertaan seramai 266 orang peserta itu terdiri daripada 52 orang peserta berumur 7 sehingga 9 tahun, 188 orang peserta berumur 10 sehingga 12 tahun, dan seramai 26 orang peserta berumur 13 sehingga 15 tahun.
Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Negeri Selangor, Puan Anfaal Saari.
Menurutnya, program ini merupakan aktiviti seni kreatif yang sering disertai oleh masyarakat.
Namun, ia berbeza kerana mendedahkan para peserta dengan pengetahuan baru tentang warisan alam Melayu yang jarang diketengahkan dalam pertandingan mewarna.
“Pendekatan mewarna ini dilihat sebagai satu kaedah yang efektif dalam mengetengahkan tentang nilai estetika tempatan yang digunakan oleh para pelukis ragam hias manuskrip Melayu pada zaman dahulu,” katanya.
Tambahnya, aktiviti ini boleh dilihat sebagai satu aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Saya yakin ramai ibu bapa yang terlibat dalam membantu para peserta mendaftar dan menghantar karya secara dalam talian kepada penganjur.
“Proses ini dapat merangsang daya kreativiti, menyuntik semangat kesungguhan dan menajamkan fokus para pelajar menghasilkan karya masing-masing.
“Saya yakin program ini menjadikan para pelajar lebih yakin dan berdaya saing dalam menyiapkan hasil yang terbaik,” katanya.
Pertandingan ini diadakan sepanjang bulan Ramadhan secara atas talian bagi peserta berumur 7 sehingga 9 tahun dan 10 sehingga 12 tahun. Manakala bagi peserta berumur 13 sehingga 15 tahun, pertandingan ini diadakan secara fizikal hari ini di MKIM.

