Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 25 Jun 2025 – Seramai 285 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang merupakan anak-anak dari Negeri Pahang menerima insentif kewangan Yayasan Pahang melalui Program Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2025 (IM Pahang).
IM Pahang merupakan usaha Kerajaan Negeri Pahang berteraskan kepada sokongan kewangan dan kebajikan terhadap mahasiswa anak Pahang yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata untuk tahun ini, setiap pelajar diberi sebanyak RM400 secara one off.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu RM300 pada 2023 dan RM200 pada tahun 2022.
“Melalui pemberian ini, ia dapat membantu meringankan beban kewangan mahasiswa, khususnya dalam urusan harian dan pembelajaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program IM Pahang di Auditorium Pusat PERMATA@Pintar Negara UKM, baru-baru ini.
Sebagai permulaan, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan bagi pengagihan bantuan kepada 500 orang pelajar sempena majlis pelancaran itu.
“Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2025 bagi melaksanakan keseluruhan program ini, yang dimanfaatkan kepada 20,000 mahasiswa anak-anak Pahang yang sedang menuntut di IPT di seluruh negara,” katanya.
Antara yang hadir ke program itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Setiausaha Karajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh dan pengurusan tertinggi UKM.
