Hab Teknovasi UKM-MTDC Semai Budaya Inovasi dan Keusahawanan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Jun 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melancarkan Hab Teknovasi UKM-MTDC bagi menyemai budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Hab Teknovasi ini diwujudkan menerusi kerjasama erat antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) bagi menyediakan ruang inovatif kepada pelajar, penyelidik serta syarikat pemula akademik.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Yeow Wah Chin, Hab Teknovasi ini akan berfungsi sebagai makmal inovasi untuk para pelajar meneroka idea, mereka bentuk prototaip awal, dan menguji penyelesaian dengan menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti mesin pencetak 3D, pemotong laser, mesin CNC, dan pelbagai lagi.

Tambahnya, UKM-CESMED juga akan melaksanakan program Deep Tech@UKM sempena penubuhan Hab Teknovasi ini.

“Deep Tech@UKM merupakan satu inisiatif pembangunan inovasi selama 6 bulan yang bertujuan mengarusperdanakan inovasi pelajar dari peringkat idea ke prototaip, hingga membawa kepada realiti perniagaan berimpak tinggi.

“Program yang akan dilaksanakan ini bakal menghimpunkan kepakaran akademik dan industri dalam satu ekosistem inovasi bersepadu, merangkumi pembangunan idea, pemantapan model perniagaan, serta peluang pembiayaan melalui jaringan pelabur dan pemodal teroka.

“Diharapkan inisiatif ini menjadi pemangkin kepada program inovasi lain dan mampu membina legasi usahawan teknologi yang bermula dari Hab Teknovasi ini,” katanya.

Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar pembangunan inovasi di UKM akan terus diperkasakan melalui Hab Teknovasi ini serta pelaksanaan program seperti Deep Tech@UKM yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan inovasi negara.

Leave a Reply