32 Peserta PERKASA Remaja Terima Sumbangan Yayasan GENIUS Malaysia

Berita dan Foto oleh Pusat Pemerkasaan Remaja, FSSK

BANGI, 13 Pktober 2022 – Seramai 32 orang peserta telah terpilih untuk menerima sumbangan dari Yayasan GENIUS Malaysia dan syarikat korporat melalui program GENIUS Remaja yang dilaksanakan di bawah Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, seramai 20 orang peserta telah menerima tawaran untuk mengikuti kursus pendek dalam bidang teknologi kemahiran kek pastri dan kecantikan di Shinsung University, Korea Selatan selama 1 bulan.

Mereka menerima sumbangan berjumlah RM10,442 setiap seorang. Pembiayaan ini termasuklah tiket penerbangan pergi dan balik ke Korea Selatan, yuran pengajian, elaun harian, elaun pakaian panas, makan dan minum serta pengangkutan awam.

Selain itu, lima orang peserta lain menerima sumbangan berjumlah RM3,000 seorang dan sebuah komputer riba bernilai RM3,665 kerana berjaya menyambung pengajian peringkat diploma dan sijil di Institusi Pengajian Tinggi, manakala dua lagi peserta yang telah kehilangan ibu dan bapa akibat penyakit kronik menerima sumbangan berjumlah RM5,000 seorang.

Baki lima orang peserta lagi menerima sebuah komputer tablet bernilai RM860. Jumlah keseluruhan semua sumbangan itu ialah sebanyak RM374,439.

Ini merupakan pemberian sumbangan kali ketiga dan buat julung kalinya, pemberian bantuan tersebut diadakan secara fizikal selepas pandemik Covid-19.

Kesemua peserta yang menerima sumbangan terdiri daripada alumni, tenaga pengajar dan peserta program GENIUS Remaja yang berusia di antara 13 hingga 19 tahun.

Mereka ini terpilih kerana telah menunjukkan komitmen, kesungguhan dan inisiatif yang amat baik sepanjang bersama dengan program GENIUS Remaja.

Diharapkan lebih ramai lagi remaja di luar sana khususnya dalam kategori B40 beramai-ramai menyertai program ini supaya lebih ramai lagi remaja boleh menerima manfaat daripadanya.

Semua sumbangan itu diberikan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Sumbangan, PERKASA UKM. PERKASA UKM adalah salah satu bahagian daripada Bahagian GENIUS di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia berperanan dalam menjalankan penyelidikan dan intervensi untuk tujuan pemerkasaan demi membina generasi muda yang berkeyakinan, bersifat dinamik, dan mempunyai jati diri yang mantap.

Leave a Reply