UKM Julung Kali Anjur Debat Bahasa Arab Intervarsiti Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Oleh Nur Syazwina Mustapa 
Foto Sumber DHEA 2022

BANGI, 13 Oktober 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia buat julung kalinya dilantik sebagai penganjur bagi Kejohanan Debat Bahasa Arab Intervarsiti Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (DHEA 2022) yang telah menghimpunkan 12 pasukan debat dari lapan buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), baru-baru ini.

DHEA 2022 itu membariskan pasukan debat dari UKM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) bagi merebut Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata penganjuran program tersebut adalah seiring dengan usaha bagi memperkasa pembinaan modal insan dalam kalangan belia, selain memartabatkan lagi Bahasa Arab yang sewajarnya digunakan oleh mahasiswa secara meluas dalam pendidikan pada masa ini.

Katanya, pertandingan tersebut menjadi platform dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang pelbagai isu semasa berkaitan hal ehwal Islam di Malaysia, iaitu mahasiswa berpeluang untuk berbincang, bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran bersama rakan-rakan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pengajian dan institusi pendidikan.

“Melalui kemahiran debat juga mahasiswa dapat memperkasa pemikiran kreatif berasaskan fakta dan ilmu dalam mengembangkan sebarang idea dan gagasan, memantapkan daya intelek bakal graduan berkerjaya dan menggilap keberanian mahasiswa untuk berhujah menggunakan Bahasa Arab,” katanya semasa merasmikan majlis penutup Kejohanan Debat Bahasa Arab Intervarsiti Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di sini.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada UKM atas kejayaan dalam penganjuran kejohanan DHEA 2022 yang buat julung kalinya diadakan selepas dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19.

DHEA 2022 yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menobatkan pasukan debat UIAM sebagai johan dan USIM sebagai naib johan.

Muhammad Suhail Tsaqif Mohamed Ishak, pendebat USIM telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik pentas akhir kejohanan. Turut diumumkan lima orang pendebat terbaik keseluruhan kejohanan yang menyaksikan  Aisyah Hanani binti Abdul Rahman (UIAM) di tempat pertama, diikuti Muhammad Faris Abd Ghaffar (UIAM) di tempat kedua, Nur Rasyiqah Uningkutti (USIM) di tempat ketiga, Umi Khairunnisa Mohd Ali (UIAM) di tempat keempat dan Imran Sulaiman (UKM) di tempat kelima.

Leave a Reply