40 Pasukan Berentap di Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Oktober 2025 – Sebanyak 40 pasukan debat yang melibatkan 160 orang pendebat dari seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia berentap dalam Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM (DAR IPT 2025), yang diadakan di Auditorium Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Pertandingan debat yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bagi membentuk mahasiswa yang peka terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa, mewujudkan mahasiswa yang mengangkat nilai amanah dan ketelusan dan melahirkan mahasiswa celik terhadap isu semasa dan jenayah rasuah.

Bertemakan “Idealis Berintegriti, Pemacu Negara Madani”, pertandingan itu adalah kesinambungan usaha SPRM dalam memperkukuh pendidikan pencegahan rasuah melalui pendekatan lebih segar dan inklusif kepada generasi muda, khususnya mahasiswa IPT.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki dalam ucapan perasmiannya berkata tema yang dipilih tahun ini menggambarkan aspirasi SPRM untuk melahirkan generasi muda yang berpegang teguh kepada nilai integriti, sekali gus menjadi pemacu kepada pembentukan masyarakat MADANI bebas rasuah.

“Melalui penganjuran ini, SPRM mahu memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah dengan membina minda kritikal serta menanam nilai integriti dalam kalangan mahasiswa, agar mereka menjadi ejen perubahan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pertandingan akhir, Universiti Malaya selaku Kerajaan telah dinobatkan sebagai Johan, selepas mengalahkan pihak Pembangkang dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan usul Demi Menangani Kes Rasuah, Dewan ini akan Mengutamakan Penggunaan Teknologi Keceedasan (AI).

Dalam pertandingan ini, Pendebat Terbaik Pertandinagn Akhir dimenangi oleh Saudara Izham Hafizi dari UPNM.

DAR IPT 2025 merupakan platform intelektual yang menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan rasuah, integriti dan tadbir urus yang baik.

Leave a Reply