Tiga Pelajar FSSK Jalani Latihan di Inovasi Muda, Indonesia

BANDUNG, 15 Oktober 2025 – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Inovasi Muda, Indonesia dengan menghantar tiga pelajar program Antropologi dan Sosiologi menjalani latihan industri di institusi tersebut.

Kerjasama itu bertujuan untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam menghadapi cabaran sosial dan alam sekitar, serta mempersiapkan mereka memasuki era pekerjaan hijau yang semakin berkembang.

Program latihan industri tersebut direka bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dengan menggabungkan pendekatan akademik dan amali lapangan.

Melalui latihan industri itu, pelatih bukan sahaja mendalami teori sosial, tetapi juga menerapkan pengetahuan dalam projek-projek nyata yang berfokus kepada kelestarian.

Aktiviti latihan industri meliputi pemetaan sosial, pemerhatian tingkah laku masyarakat dan pembangunan program berasaskan ekonomi hijau seperti pengurusan sampah, pengukuhan ekonomi kitaran dan pembangunan komuniti tempatan.

Sebagai sebahagian daripada program latihan tersebut, Inovasi Muda menganjurkan Green Job Talks Special Session bertemakan From Local Action to Regional Impact: Youth Leading Green Jobs and Diplomacy.”

Pengerusi Inovasi Muda, Restu Andini berkata pekerjaan hijau (green jobs) bukan sekadar trend, tetapi merupakan keperluan masa depan.

”Melalui program ini, kami ingin memberikan ruang kepada mahasiswa untuk melihat bagaimana teori yang mereka pelajari dapat menjawab isu alam sekitar sekaligus mencipta peluang pekerjaan yang mampan,” katanya.

Wakil pelajar dari UKM, Yana berkata sepanjang bersama Inovasi Muda, dia menyedari bahawa inovasi bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga keberanian mencuba, berfikir secara pintar dan berkongsi idea untuk kebaikan bersama.

”Pengalaman ini mengajar saya melihat cabaran sebagai peluang dan terus menyumbang kepada masyarakat. ‘Dari Inspirasi ke Transformasi’ adalah slogan yang saya cipta sendiri sesuai dengan Inovasi Muda,” katanya.

Kerjasama antara Inovasi Muda dan UKM menandakan langkah awal pengukuhan diplomasi belia Malaysia-Indonesia. Dengan penglibatan mahasiswa, akademik dan profesional, inisiatif itu diharapkan dapat memperluas pemahaman tentang transisi hijau serta membuka peluang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan masyarakat.

Leave a Reply