Oleh Prof Madya Dr Azianura Hani Shaari
CHERAS, 27 September 2025 – Pada sesi akademik 2025/2026 ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima seramai 4,078 pelajar baharu untuk masuk ke pelbagai program Ijazah Sarjana Muda.
Jumlah ini disaring dari 70,745 permohonan dengan 8,567 calon memilih UKM sebagai pilihan pertama. Ini membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang diberi oleh UKM melalui program pengajian pelbagai bidang.
Banyak prosedur yang perlu dilalui dalam menghasilkan sesuatu program pengajian atau kursus.
Justeru, UKM ingin menegaskan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti ini adalah berkualiti, diiktiraf serta memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Proses semakan kursus secara berkala juga dijalankan setiap lima tahun bagi menjaminn kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memastikan kursus yang ditawarkan seiring dengan keperluan semasa.
Hasrat ini adalah selari dengan matlamat UKM untuk melahirkan graduan peneraju masa depan, seperti yang digariskan dalam kerangka TEKAD 57.
TEKAD 57 membawa halatuju negara menuju 100 tahun kemerdekaan pada tahun 2057 melalui lima fokus utama iaitu peneraju masa hadapan, universiti tersohor dunia,kelestarian dan kesejahteraan ekosistem, pendayaan digital dan infrastruktur dan pengukuhan integriti dan akauntabiliti.
Bagi menjayakan semua ini, kita telah menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama yang menjadi ukuran kejayaan UKM iaitu kecemerlangan dalam pengajaran dan pendidikan, penguasaan dalam penyelidikan dan inovasi, pengoptimuman sumber manusia, pengukuhan kewangan, serta pengurusan institusi yang lestari.
