UKM Terima RM180,000 sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 29 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan daripada Yayasan Taqwa – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM180,000 bagi membantu pelajar-pelajar yang memerlukan selain untuk memartabatkan program keilmuan.

Jumlah itu adalah dana untuk Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025 bernilai RM120,000 manakala RM40,000 serta RM20,000 bagi membantu pelajar-pelajar asnaf di UKM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan bagi menjayakan majlis keilmuan.

“Untuk kali ini kita melalui Yayasan Taqwa MAIWP memberi sejumlah RM120,000 kepada UKM bagi menjayakan Konvensyen Pengajian Islam IPT 2025 yang akan diadakan pada November ini,” katanya.

Beliau menyerahkan bantuan itu dalam majlis UKM Berselawat: Malam Cinta Rasul sempena Minggu Apresiasi Watan yang dihadiri lebih 4,000 pelajar baharu sesi 2025/2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Dato’ Dr. Mohd Na’im juga turut menyampaikan komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada saudara Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam yang hampir menolak tawaran ke UKM akibat kesempitan hidup.  

“Kita berharap dengan pemberian sumbangan ini, saudara Muhammad Aidil dapat meneruskan pengajian dengan baik dan memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, wakalah zakat bernilai RM80,000 turut disumbang oleh Pelaburan Hartanah Berhad yang akan diagihkan kepada 400 pelajar dari kategori asnaf fakir dalam bentuk Unit Amanah bernilai RM200 seorang.

Turut dilancarkan, Sahabat Zakat UKM dan Penyerahan Al-Quran Mufiq serta Tausiyah bertajuk Demimu Rasullullah SAW disampaikan oleh Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Leave a Reply