Oleh Zainal Asnawi Asyraf
Foto oleh Fakulti Pergigian
BANGI, 12 Mei 2026 – Enam pelajar pascasiswazah program Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih menyertai program Management of Oral Health Care and Services Mobility Attachment anjuran Universitas Gadjah Mada bagi memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pengurusan, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian di Indonesia.
Program yang diadakan baru-baru ini di Yogyakarta, Indonesia diadakan selaras dengan usaha untuk memperluas pengalaman pembelajaran berasaskan amalan serta meningkatkan kompetensi profesional dalam bidang kesihatan awam pergigian di peringkat global.
Salah seorang peserta, Dr Muhammad Khairil Affandy Rosli berkata program itu berjaya memupuk keupayaan pemikiran kritikal dan analitis dalam kalangan peserta melalui perbandingan sistem kesihatan pergigian antara Indonesia dan Malaysia.
“Program ini memberikan pendedahan antarabangsa yang amat bermakna serta memperluas perspektif kami terhadap pengurusan kesihatan pergigian masyarakat di peringkat global.
“Penglibatan dalam program seperti ini penting bagi pelajar pergigian UKM untuk memperluas jaringan antarabangsa serta membentuk sahsiah dan kemenjadian diri yang unggul.” katanya.
Beliau berkata melalui tersebut, peserta didedahkan dengan pengurusan, tadbir urus serta mekanisme pembiayaan perkhidmatan kesihatan pergigian di Indonesia melalui pelbagai sesi akademik dan lawatan institusi.
“Antaranya termasuk lawatan ke pusat kesihatan primer (Puskesmas), hospital pengajaran serta pelaksanaan program kesihatan berasaskan komuniti,” ujarnya.
Selain itu, para peserta turut terlibat secara langsung dalam aktiviti komuniti merangkumi pendidikan kesihatan pergigian dan pelaksanaan intervensi pencegahan penyakit oral dalam kalangan murid sekolah.
Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman praktikal peserta terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian, malah meningkatkan kompetensi profesional dalam aspek promosi kesihatan awam dan penglibatan komuniti.
Program mobiliti ini turut menyediakan platform yang signifikan bagi memperluas jaringan akademik dan profesional melalui sesi pertukaran ilmu bersama ahli akademik Universitas Gadjah Mada serta penyedia perkhidmatan kesihatan tempatan.
Penyertaan dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Pergigian UKM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkasa pendidikan pascasiswazah melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan mobiliti akademik global.

