Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2026 – Inovasi dalam penjagaan kesihatan bukan lagi pilihan, tatapi menjadi keperluan mustahak bagi memastikan sistem kesihatan negara memenuhi keperluan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata peralihan yang dimaksdkan itu termasuk mengguna pakai teknologi termaju sangat kritikal bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang.
“Kita mesti menerima penyelesaian baharu, memperkukuh kerjasama serta mempercepatkan penggunaan inovasi yang dapat meningkatkan hasil kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Sebagai contoh, sistem pengurusan rekod pesakit dan klinik digital (CCMS) di klinik kesihatan kerajaan kini menggunakan rekod pesakit secara digital bagi mengurangkan masa menunggu, menyelaras penugasan doktor mengikut ketersediaan serta mengurus aliran pesakit dengan lebih cekap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan (I-SIHAT) Ke-15 dan Persidangan Antarabangsa Sains Kesihatan Ke-3 Persatuan Universiti-Universiti Asia dan Pasifik (AUAP IHSC) 2026, baru-baru ini.
Simposiaum yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertemakan “Advancing Health Frontiers: Innovation and Global Partnership” ini memfokuskan kepada inovasi digital dan kerjasama Association of Universities of Asia and the Pacific (AUAP).
Dato Hanifah Hajar berkata penganjuran seminar itu amat bertepatan dengan keadaan semasa dan mempunyai signifikan yang besar.
“Malaysia, seperti banyak negara lain, terus berdepan beban penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat seperti obesiti, diabetes, penyakit kardiovaskular dan gangguan kesihatan mental,” katanya.
“Cabaran utama kini ialah menghubungkan semua kekuatan ini dalam satu ekosistem yang menyeluruh dan bersepadu.
“Isu yang kita hadapi hari ini memerlukan penyelesaian inovatif yang berasaskan sains, kerjasama dan tanggungjawab bersama dan sektor kesihatan tidak lagi boleh beroperasi secara berasingan,” katanya.
Persidangan I-SIHAT 2026 menghimpunkan penyelidik, profesional kesihatan, pembuat dasar, pendidik, inovator, usahawan dan pemain industri dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran kesihatan semasa serta meneroka penyelesaian yang inovatif dan mampan.
Persidangan itu bertujuan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kesihatan yang lebih mampan melalui perkongsian kepakaran dan kolaborasi antara sektor.
Ia merangkumi perkongsian Inovasi dengan menampilkan teknologi terkini dan penyelidikan termaju dalam bidang sains kesihatan.

