Oleh Siti Aisyah Mohd Wahama
Foto Izwan Azman
BANGI, 2 Julai 2026 – Seminar Kepimpinan Penyelidikan Berteraskan Misi anjuran Pusat Idea, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memfokuskan perbincangan kepada hala tuju strategik penyelidikan universiti dalam menghadapi cabaran teknologi terkehadapan seperti kecerdasan buatan (AI), kuantum dan semikonduktor demi memacu impak di peringkat nasional mahupun global.
Seminar yang bertemakan ‘Memacu Teknologi Terkehadapan UKM ke Arah Impak Nasional dan Global’ ini bertujuan merangkumkan ekosistem penyelidikan UKM agar bergerak selaras dengan Pelan Strategik TEKAD 57 melalui kolaborasi rentas disiplin, tadbir urus yang baik, serta penerapan prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) sebagai tunjuk arah pembangunan inovasi.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Sufian Jusoh dalam amanatnya berkata, warga penyelidik universiti kini perlu bergerak melangkaui penghasilan output akademik semata-mata demi menyokong penuh agenda pembangunan negara.
“Kita perlu mengenali identiti dan kepakaran pasaran (market expertise) kita sendiri untuk kekal relevan dan berdaya saing. Penyelidik juga harus membina kerjasama strategik bagi membangunkan teknologi asas yang menjadi pemangkin kepada penciptaan teknologi baru.
“Ketahui cara menyumbang dengan berkesan demi membolehkan Malaysia melakukan lonjakan paradigma (leapfrog) di peringkat global melalui translasi inovasi yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan industri,” katanya.
Program yang berlangsung di Akademia Siber Teknopolis UKM itu turut menampilkan sesi perkongsian strategik daripada tokoh-tokoh industri dan pengurusan terkemuka, termasuk Pengasas dan CEO TerraLestar International, Dr. Nur Syafrina Mohd Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UKM Holdings, Dato’ Dr. Julainie Mohd Salleh; serta Mantan Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Seri Dr. Hamzah Kassim.
Turut hadir,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dr. Ismanizan Ismail; Pengarah IDEA UKM, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal; serta barisan dekan, pengarah institut, ketua kumpulan penyelidikan, dan warga akademik universiti.

