Oleh Siti Aisyah Mohd Wahama dan Melor Suria Minhat
Foto Ahmad Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 3 Julai 2026 – Jalinan kerjasama erat antara komuniti perubatan amat penting dalam mendepani cabaran kesihatan global, khususnya dalam usaha mengurangkan kadar insiden penyakit tidak berjangkit.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata usaha menangani cabaran kesihatan masa kini tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik merentas institusi dan negara melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Komuniti perubatan juga harus memperkasakan pelaksanaan perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) ASEAN sepenuhnya, khususnya bagi sektor perubatan dan kejururawatan demi memastikan kelangsungan kualiti profesionalisme serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan International Congress of Medicine and Health (iCoMedH) 2026 yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan UKM bersempena Simposium Penyelidikan ASEAN Medical Schools Network (AMSN).
Kongres ini menjadi platform kepada institusi perubatan, penyelidik serta pengamal kesihatan untuk berkongsi kepakaran, memperluas jaringan profesional dan meneroka inisiatif strategik bagi menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran kesihatan semasa.
Selain mengetengahkan pembentangan hasil penyelidikan klinikal dan praklinikal, iCoMedH 2026 turut memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam pendidikan perubatan, amalan klinikal serta penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Penganjuran kongres ini turut membuka peluang kepada penyelidik dan institusi perubatan ASEAN untuk membangunkan penyelidikan bersama, memperkukuh hubungan akademik serta berkongsi amalan terbaik dalam menangani isu kesihatan global.
Berlangsung selama dua hari dari 3 hingga 4 Julai 2026, iCoMedH 2026 menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik dan profesional kesihatan menerusi pelbagai sesi syarahan utama, simposium, forum serta pembentangan penyelidikan sebagai wadah memperkukuh perkongsian ilmu dan jaringan kepakaran dalam bidang perubatan.
Turut hadir ialah Pro Naib Canselor Kampus UKM Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin; Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dato’ Dr. Marina Mat Baki; Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dato’ Dr. Azmi Baharudin; Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz, Prof. Chim C. Lang; dan Presiden AMSN, Prof. Dr. Salina Husain.


