Oleh Muhammad Aizuddin Saharudin dan Ahmad Bukhari A Latib
Foto Nurul Asyiqin binti Mohamad Noor
KUALA LUMPUR, 6 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Perubatan terus melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia menjalin kerjasama dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Maristan, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kerjasama strategik ini membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pendidikan, penyelidikan, inovasi klinikal dan khidmat masyarakat, khususnya dalam bidang kesihatan mental dan penjagaan kesihatan holistik.
Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dato’ Dr. Marina Mat Baki berkata kerjasama itu bukan sekadar menghubungkan dua institusi, malah mencerminkan komitmen bersama dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.
“Kerjasama ini menjadi titik permulaan kepada perkongsian ilmu dan kepakaran yang mampu memberikan impak besar kepada pendidikan perubatan, penyelidikan serta amalan klinikal.
“Lebih penting, ia memperkukuh usaha kita untuk melahirkan profesional kesihatan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan klinikal, tetapi juga mempunyai nilai ihsan, empati dan kepekaan terhadap keperluan pesakit secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis pemeteraian MoU tersebut yang dirasmikan oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin.
Melalui Memorandum Persefahaman ini, UKM dan Maristan akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penyelidikan bersama, pembangunan modul pendidikan, pertukaran kepakaran, latihan profesional, inovasi klinikal, penganjuran persidangan ilmiah dan program khidmat masyarakat yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan serta antarabangsa.
Prof. Dato’ Dr. Marina berkata kerjasama itu diyakini akan memperkukuh kedudukan UKM sebagai peneraju institusi pengajian tinggi dalam menjalin kolaborasi antarabangsa yang memberi impak kepada pembangunan ilmu, penyelidikan dan penjagaan kesihatan.
“Pada masa sama, ia menjadi langkah penting dalam membentuk ekosistem kesihatan yang lebih inklusif, berteraskan bukti saintifik serta diperkaya dengan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat sejagat,” ujarnya.
Maristan diasaskan oleh Dr. Rania Awaad, Profesor Klinikal Psikiatri di Stanford University School of Medicine yang turut mengetuai Stanford Muslim Mental Health and Islamic Psychology Lab.
Beliau dikenali di peringkat antarabangsa sebagai pakar psikiatri, penyelidik, pendidik dan sarjana Islam yang memperjuangkan integrasi antara kesihatan mental, spiritualiti dan amalan klinikal berasaskan bukti.
Bersempena majlis tersebut, Dr. Rania turut menyampaikan Syarahan Antarabangsa Tersohor bertajuk Integrating Spirituality into Clinical Practice: A Holistic Approach for Healthcare Professionals, yang menekankan tentang rawatan terbaik bukan hanya tertumpu kepada penyakit, sebaliknya perlu melihat manusia secara menyeluruh merangkumi minda, tubuh badan dan jiwa (mind, body and soul).
Beliau berkata kemajuan sains perubatan perlu bergerak seiring dengan empati, belas ihsan dan spiritualiti.
“Apabila ketiga-tiga elemen ini digabungkan secara profesional dan beretika, kita bukan sahaja merawat penyakit, tetapi turut membantu memulihkan kehidupan seseorang,” katanya.


