SIAGA’26 Cetus Semula Gerakan Kesukarelawanan Rentas IPT Peringkat Nasional di UKM

Oleh Fadhlin Jahiza Aqila Khayran Rosly
Foto Urusetia SIAGA’26


BANGI, 2 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghidupkan semula jaringan kesukarelawanan mahasiswa peringkat nasional menerusi Program Sukarelawan Siswa Inisiatif: Alam, Gawat & Aspirasi 2026 (SIAGA’26) yang berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai 2026.

Program anjuran Kelab AURAS dan Persatuan Nadi Alumni UKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) itu menghimpunkan 40 sukarelawan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara bagi memperkukuh budaya kesukarelawanan rentas institusi melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

SIAGA’26 memberi fokus kepada kesiapsiagaan bencana, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pembangunan pendidikan menerusi simulasi pengurusan bencana bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), inisiatif Komuniti Kasih berkaitan penjagaan pesakit paliatif termasuk asas CPR dan pengurusan pesakit, bengkel penghasilan Effective Microorganism (EM) serta Projek Aspirasi Siswa MADANI bersama komuniti sekolah.

Penasihat Program, Dr. Nurwina Akmal Anuar berkata SIAGA’26 menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membentuk mahasiswa lebih berempati dan bersedia menghadapi cabaran masyarakat.

“Apabila mahasiswa turun sendiri ke lapangan, mereka bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal, malah belajar memahami realiti kehidupan masyarakat. Pengalaman ini membentuk kepimpinan yang lebih berjiwa rakyat dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program, Muhammad Aqil Fahmi Zaid berkata SIAGA’26 menjadi titik permulaan dalam membina semula ekosistem kesukarelawanan mahasiswa yang lebih tersusun dan berimpak.

“SIAGA’26 membuktikan mahasiswa mampu menjadi agen perubahan melalui ilmu, kemahiran dan kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3, SDG 4, SDG 13 dan SDG 17 melalui inisiatif kesukarelawanan berteraskan komuniti, kelestarian dan kerjasama strategik.

Leave a Reply