Baucar Buku Madani 2026 Tingkat Budaya Ilmu Mahasiswa UKM

BANGI, 20 Julai 2026 – Pelancaran rasmi inisiatif Baucar Buku MADANI 2026 pada 15 Julai 2026 yang lalu membuktikan keprihatinan berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan budaya ilmu serta meringankan beban kos sara hidup mahasiswa di seluruh negara.

Melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diterajui oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan bermusim, malah merupakan pelaburan strategik demi masa depan intelek negara.

Inisiatif ini menawarkan manfaat bernilai RM100 seorang khusus buat pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia, termasuk Universiti Awam (UA).

Penebusan ini membolehkan mahasiswa memperoleh pelbagai bahan ilmiah seperti buku akademik, buku rujukan, buku umum dan e-buku bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), inisiatif ini dilihat seiring dengan slogan universiti yang sentiasa menjunjung tinggi teras Iman Ilmu dan Amal. Langkah proaktif ini menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekosistem intelek yang lebih subur di peringkat kampus, sekali gus mendorong mahasiswa untuk lebih berdaya saing.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, mahasiswa UKM perlu merebut peluang keemasan ini untuk mendapatkan bahan bacaan yang relevan dengan bidang pengajian masing-masing.

“Penggunaan baucar ini amat penting untuk memperkukuh kemahiran penyelidikan, meningkatkan literasi maklumat serta memperluas pengetahuan merentas disiplin yang melangkaui sempadan bilik kuliah,” katanya.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang komited melahirkan graduan holistik dan berkualiti, beliau berkata UKM sentiasa menggalakkan corak pembelajaran kendiri. 

“Dengan adanya Baucar Buku MADANI, ia melengkapkan usaha tersebut dengan memberi peluang fizikal kepada mahasiswa untuk memiliki koleksi buku sendiri.

“Pemilikan bahan bacaan peribadi secara tidak langsung menanam amalan membaca berterusan yang menjadi asas kepada pembentukan pemikiran kritis dan inovasi,” ujarnya.

Bagi memastikan mahasiswa mendapat manfaat yang berterusan, UKM turut menggerakkan beberapa inisiatif sesi libat urus yang melibatkan wakil Perpustakaan UKM serta Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) serta bersama Pusat Tanggungjawab (PTj) berkaitan.

“Langkah sinergi ini bertujuan mengoptimumkan fasiliti perpustakaan serta menyelaras aktiviti galakan membaca,” katanya.

Di samping itu, beliau menyeru agar para pelajar memanfaatkan platform agensi dalaman seperti Penerbit UKM yang menawarkan ratusan judul buku akademik dan pelbagai hasil penyelidikan berimpak tinggi.

“Pemberian Baucar Buku MADANI 2026 mencerminkan komitmen jitu pihak kerajaan dan universiti dalam melahirkan graduan berimpak tinggi.

“Dengan memanfaatkan bantuan ini secara optimum, mahasiswa UKM bukan sahaja bersedia memenuhi keperluan akademik peribadi, malah turut menyumbang kepada pembinaan sebuah masyarakat Malaysia MADANI yang berilmu, kritis, dan berupaya mencipta masa depan negara yang gemilang,” katanya.

Leave a Reply