Oleh Dr. Farah Deena Abdul Samad, Pakar Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pernahkah anda bertemu seseorang yang sentiasa kelihatan ceria? Dia datang bekerja tepat pada waktunya, murah dengan senyuman dan tidak pernah merungut. Namun, apabila pulang ke rumah, senyuman itu seolah-olah hilang. Tidurnya tidak lena, fikirannya masih memikirkan kerja, dan keesokan harinya dia kembali memakai ‘topeng’ yang sama.
Hakikatnya, inilah realiti yang sedang dialami oleh ramai rakyat Malaysia. Mereka masih bekerja, menjalankan tanggungjawab dan kelihatan seperti biasa. Namun, dalam diam mereka sedang bergelut dengan tekanan yang tidak kelihatan.
Tekanan hidup hari ini semakin mencabar. Kos sara hidup meningkat, komitmen kewangan bertambah, manakala di tempat kerja ramai terpaksa memikul beban yang dahulunya dikendalikan oleh beberapa orang. Dalam sektor kesihatan misalnya, pertambahan pesakit, kekurangan tenaga kerja dan beban dokumentasi menyebabkan ramai petugas berasa seolah-olah sentiasa ‘berlari’ mengejar masa.
Kesannya bukan sekadar dirasai oleh individu. Kesihatan mental yang terjejas turut memberi impak kepada produktiviti organisasi, kesejahteraan keluarga dan ekonomi negara. Malah, laporan menunjukkan beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion menjelang 2030 jika usaha intervensi tidak diperkukuh. Pada masa sama, kira-kira satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dilaporkan mengalami kemurungan, manakala seorang daripada empat remaja turut berdepan masalah yang sama.
Angka ini membawa satu mesej yang jelas iaitu kesihatan mental bukan lagi isu yang berlaku kepada ‘orang lain’. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk ahli keluarga, rakan sekerja atau diri kita sendiri.
Ramai menganggap stres sebagai sesuatu yang buruk. Sebenarnya, stres ialah tindak balas semula jadi tubuh apabila berdepan cabaran. Dalam kadar yang sesuai, ia membantu kita lebih fokus dan bersedia menghadapi situasi penting seperti peperiksaan, temu duga atau kecemasan.
Namun, apabila tekanan berpanjangan tanpa peluang untuk berehat dan memulihkan diri, di situlah masalah bermula.
Tanda awal stres
Antara tanda awal yang sering diabaikan ialah sukar tidur, cepat letih walaupun sudah berehat, hilang fokus, mudah marah, rasa cemas serta tidak lagi menikmati perkara yang dahulu menggembirakan. Di tempat kerja pula, seseorang mungkin mula kerap mengambil cuti sakit, menangguhkan tugasan atau menunjukkan prestasi yang semakin merosot. Malangnya, perubahan ini sering disalah tafsir sebagai sikap malas atau tidak komited, sedangkan ia mungkin petanda seseorang sedang bergelut dengan kesihatan mental.
Sejak kebelakangan ini, istilah burnout semakin kerap diperkatakan. Namun, burnout bukan sekadar rasa penat selepas bekerja. Ia ialah keadaan keletihan fizikal, emosi dan mental akibat tekanan kerja yang berlarutan.
Bayangkan bateri telefon yang digunakan sepanjang hari tanpa dicas. Lambat-laun baterinya pasti habis. Begitu juga manusia. Bezanya, apabila bateri telefon hampir kosong kita segera mencari pengecas, tetapi apabila ‘bateri diri’ sendiri semakin lemah, kita sering berkata, “Tak apa, boleh tahan lagi.” Akhirnya tubuh dan minda pula yang ‘shutdown’.
Burnout berbeza dengan kemurungan
Burnout juga berbeza daripada kemurungan. Burnout biasanya berkait rapat dengan tekanan pekerjaan, manakala kemurungan memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan seseorang. Individu yang mengalami kemurungan mungkin kehilangan minat terhadap perkara yang dahulu disukai, mengalami gangguan tidur dan selera makan, sukar menumpukan perhatian, berasa tidak bernilai, malah dalam keadaan tertentu mempunyai keinginan untuk menamatkan kehidupan. Justeru, kemurungan ialah penyakit yang boleh dirawat dan bukannya tanda kelemahan diri.
Apa yang boleh dilakukan?
Langkah pertama ialah peka terhadap diri sendiri. Jangan tunggu sehingga sudah tidak mampu bangun bekerja atau menangis setiap hari sebelum mendapatkan bantuan. Pastikan tubuh mendapat rehat yang mencukupi, amalkan pemakanan sihat, kekal aktif dan luangkan masa bersama insan tersayang.
Belajarlah menetapkan sempadan yang sihat antara kerja dan kehidupan peribadi. Tidak semua e-mel perlu dijawab pada waktu malam dan tidak semua beban perlu dipikul seorang diri.
Lebih penting, jangan hadapi semuanya secara bersendirian. Berkongsilah dengan pasangan, ahli keluarga, rakan atau penyelia yang dipercayai. Sekiranya tekanan berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan harian, dapatkan bantuan daripada doktor, kaunselor, pegawai psikologi atau pakar psikiatri. Meminta bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah berani untuk menjaga diri.
Dalam masa yang sama, kita juga boleh menjadi penyokong kepada orang di sekeliling. Jika melihat rakan semakin pendiam, kelihatan terlalu letih atau mula mengasingkan diri, cubalah bertanya dengan penuh empati. Kadangkala ungkapan ringkas seperti, “Saya perasan awak nampak penat kebelakangan ini. Saya risau tentang awak. Kalau awak perlukan seseorang untuk bercakap, saya sedia mendengar,” jauh lebih bermakna daripada seribu nasihat.
Akhirnya, ingatlah bahawa tidak semua yang tersenyum benar-benar bahagia. Tidak semua yang kelihatan kuat sedang baik-baik sahaja. Jika tanda-tanda awal terus diabaikan, stres boleh berkembang menjadi burnout, dan burnout pula meningkatkan risiko kemurungan.
Kesihatan mental bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang mengetahui bila masanya untuk berhenti seketika, berehat, memulihkan diri dan berani mendapatkan bantuan. Kerana apabila kita menjaga kesihatan mental, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah turut memelihara kesejahteraan keluarga, memperkukuh tempat kerja dan membina masyarakat yang lebih sihat serta sejahtera.
