Oleh Noorlaily Abdul Rahim dan Muhammad Hasif Roslan
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2026 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat satu lagi kejayaan dalam bidang perubatan kardiovaskular menerusi pelaksanaan prosedur Pulsed Field Ablation (PFA) yang pertama hospital itu.
Pengenalan teknologi tersebut menawarkan pilihan rawatan yang lebih moden dan selamat kepada pesakit yang mengalami gangguan rentak jantung atau Atrial Fibrillation (AF).
Prosedur yang dikendalikan oleh Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi HCTM, Dr. Mohd Asyiq Al-Fard Mohd Raffalii, menggunakan kaedah rawatan tanpa pembedahan terbuka yang direka khusus untuk merawat masalah rentak jantung tidak sekata.
Menurut Dr. Mohd Asyiq Al-Fard, pelaksanaan teknologi PFA di HCTM merupakan satu perkembangan yang signifikan dalam pengurusan penyakit aritmia di Malaysia.
“Komitmen HCTM dalam membawa masuk teknologi PFA ini merupakan satu langkah ke hadapan yang amat bermakna dalam pengurusan penyakit aritmia di Malaysia.
“Pengenalan prosedur ini bukan sahaja menawarkan alternatif rawatan yang lebih optimum, malah memberikan harapan baharu yang lebih selamat, cekap dan berkesan, khususnya kepada pesakit berisiko tinggi,” katanya.
Prosedur sulung yang dilaksanakan di hospital itu melibatkan seorang pesakit berusia 68 tahun yang mempunyai sejarah kesihatan yang kompleks, termasuk pernah mengalami strok serta menghidap atrial fibrilasi persisten.
Enam minggu sebelum prosedur dijalankan, pesakit telah menjalani prosedur kardioversi bagi mengembalikan ritma jantung kepada keadaan normal dan seterusnya perlu mengambil ubat Amiodarone setiap hari bagi mengekalkan ritma tersebut.
Pelaksanaan PFA ini diharapkan dapat mengurangkan risiko gangguan rentak jantung berulang, sekali gus membuka peluang kepada pesakit untuk mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan dalam jangka panjang.
Dr. Mohd Asyiq Al-Fard berkata sebelum ini, rawatan ablasi konvensional seperti Radiofrequency Ablation dan Cryoablation menggunakan tenaga haba atau suhu sejuk melampau bagi memusnahkan tisu yang menjadi punca gangguan rentak jantung.
“Walaupun terbukti berkesan, pendekatan tersebut mempunyai risiko kecederaan kepada struktur sensitif berhampiran jantung seperti esofagus dan saraf phrenic akibat kesan tenaga haba atau sejuk yang digunakan,” ujarnya.
Berbeza dengan kaedah konvensional, beliau berkata teknologi PFA menggunakan denyutan medan elektrik berkekuatan tinggi untuk menyasarkan dan memusnahkan sel-sel jantung yang menyebabkan gangguan rentak secara lebih tepat dan selektif.
“Oleh kerana tisu jantung lebih sensitif terhadap medan elektrik berbanding tisu di sekelilingnya, risiko kecederaan kepada organ berhampiran dapat dikurangkan dengan ketara,” tambah beliau.
Selain menawarkan tahap keselamatan yang lebih baik, menurut Dr Mohd Asyiq Al-Fard, teknologi PFA turut membolehkan tempoh prosedur disingkatkan, meningkatkan ketepatan rawatan, mengurangkan keperluan prosedur ulangan serta mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
“Dengan trauma tisu yang minimum, pesakit berpotensi untuk discaj lebih awal dan kembali menjalani aktiviti harian dengan lebih cepat,” katanya.
Pelaksanaan prosedur ini mencerminkan komitmen berterusan HCTM dalam memperluaskan akses kepada teknologi perubatan moden serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti demi manfaat pesakit.

