UKM Ketengah Peranan Jepun Perkukuh Ketahanan Ekonomi ASEAN

Oleh Melor Suria Minhat dan Murniati Abu Karim

SINGAPURA, 24 Julai 2026 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh menggesa Jepun memperkukuh kerjasama strategik dengan ASEAN dalam bidang teknologi hadapan, keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi bagi meningkatkan daya tahan rantau ini dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi global.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan pada Sesi Meja Bulat bersama Ahli Parlimen Jepun di Raffles Hotel, Singapura yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan integrasi ASEAN serta peranan Jepun dalam menyokong pembangunan ekonomi serantau.

Menurut beliau, landskap geopolitik dunia yang semakin mencabar akibat konflik serantau, ketidaktentuan perdagangan antarabangsa serta persaingan teknologi global memerlukan ASEAN memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik yang diyakini seperti Jepun bagi memastikan pertumbuhan ekonomi rantau ini terus mampan.

Katanya, walaupun ASEAN kini menjadi antara hab utama pelaburan global dalam sektor semikonduktor dan elektronik, kebanyakan negara anggotanya masih berada pada tahap pengguna teknologi dan belum menjadi peneraju pembangunan teknologi strategik.

“Malaysia dan ASEAN memerlukan sokongan Jepun dalam pembangunan teknologi hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi kuantum serta pemprosesan mineral kritikal melalui pelaburan dalam infrastruktur, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan ASEAN bukan sahaja menjadi hab pembuatan, malah mampu muncul sebagai peneraju inovasi teknologi di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan tenaga turut menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian memandangkan pembangunan teknologi baharu memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan mampan.

Menurutnya, ASEAN dan Jepun sama-sama berdepan risiko gangguan bekalan tenaga susulan ketidaktentuan geopolitik dunia, justeru pelaburan dalam tenaga boleh baharu, pembangunan infrastruktur tenaga serta kerjasama dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) perlu diperkasakan bagi menjamin keselamatan tenaga serantau.

Prof. Dato’ Dr. Sufian berkata perubahan dasar perdagangan dan teknologi global turut membuka ruang kepada Jepun untuk memainkan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik ASEAN melalui pendekatan berasaskan kepercayaan, pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Beliau berkata, UKM sendiri komited menyokong agenda tersebut menerusi kerjasama dengan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) serta penubuhan Semiconductor Center, Quantum Center, ASEAN Institute dan Centre for Critical Minerals yang bakal menjadi platform penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat bagi menyokong integrasi ekonomi ASEAN.

Leave a Reply