Oleh Dr Jalina Karim
Pensyarah Kanan Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan UKM
Luka pembedahan ialah bukaan atau tebukan yang dibuat pada kulit dan tisu badan oleh doktor atau pakar dengan menggunakan peralatan pembedahan. Luka pembedahan memerlukan penjagaan yang rapi bagi memastikan proses penyembuhan berlaku dengan baik serta mengelakkan komplikasi seperti jangkitan.
Pesakit yang baru dibenarkan pulang dari wad selepas menjalani pembedahan caesarean, pembedahan am (surgikal), pembedahan ortopedik atau prosedur pembedahan lain perlu memahami cara penjagaan luka yang betul bagi mempercepatkan proses pemulihan.
PENJAGAAN LUKA
Langkah pertama yang penting ialah memastikan luka sentiasa bersih dan kering. Pesakit perlu mencuci tangan menggunakan sabun dan air sebelum menyentuh kawasan luka atau menukar balutan serta mengikut enam langkah cucian tangan.
Balutan luka hendaklah ditukar mengikut arahan doktor atau jururawat. Sekiranya balutan menjadi basah, kotor atau tertanggal, ia perlu diganti dengan segera menggunakan teknik yang bersih bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Luka pembedahan kadang kadang mempunyai jahitan pada kulit dan ada juga yang dibiarkan terbuka pada kes-kes tertentu. Kebiasaannya jahitan pada kulit akan menggunakan bebenang tidak larut, yang mana ianya memerlukan pembukaan atau pengguntingan bebenang ini selepas tempoh lebih kurang satu minggu selepas pembedahan.
Pesakit juga perlu memerhatikan tanda-tanda jangkitan pada luka. Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah kemerahan yang semakin meluas, bengkak, rasa panas pada kawasan luka, keluar nanah atau cecair berbau, serta peningkatan kesakitan.
Suhu badan melebihi 38°C menunjukkan pesakit mengalami demam dan ianya juga boleh menjadi petanda jangkitan. Jika mana-mana tanda ini berlaku, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.
PEMAKANAN DAN PEMULIHAN
Selain itu, pemakanan yang seimbang memainkan peranan penting dalam penyembuhan luka. Pengambilan makanan yang kaya dengan protein seperti ikan, ayam, telur dan susu membantu pembentukan tisu-tisu baharu. Buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi vitamin C turut membantu mempercepatkan proses penyembuhan.
Pesakit juga digalakkan minum air yang mencukupi demi untuk mengekalkan hidrasi badan. Sekiranya pesakit seorang perokok, mereka perlu mengelakkan merokok kerana tabiat tersebut boleh melambatkan penyembuhan luka.
Bagi pesakit yang menjalani pembedahan caesarean atau ortopedik, aktiviti fizikal perlu dilakukan secara berperingkat mengikut nasihat doktor. Elakkan mengangkat barang berat, melakukan pergerakan yang terlalu lasak atau memberi tekanan berlebihan pada kawasan pembedahan.
Pesakit juga perlu menghadiri temu janji susulan bagi membolehkan doktor menilai perkembangan penyembuhan luka.
Bagi pesakit yang telah mempunyai penyakit seperti dibetes mellitus atau kencing manis, mereka perlu lebih peka dalam penjagaan luka dan membuat cucian lebih teliti. Ini adalah kerana proses penyembuhan bagi pesakit diabetes mellitus boleh mengambil masa yang lebih lama, memandangkan penyakit ini akan mengganggu proses penyembuhan dan luka pembedahan lebih mudah mendapat jangkitan kuman.
Kesimpulannya, penjagaan luka pembedahan yang baik selepas discaj dari wad amat penting untuk mengelakkan komplikasi dan memastikan pemulihan yang optimum. Dengan menjaga kebersihan luka, mengamalkan pemakanan sihat, mematuhi arahan petugas kesihatan serta mendapatkan rawatan segera jika terdapat tanda jangkitan, pesakit dapat menjalani proses penyembuhan dengan lebih selamat dan berkesan.
Justeru, pemahaman mengenai luka pembedahan dan cara penjagaannya dapat membantu mempercepatkan pemulihan serta meningkatkan kualiti hidup pesakit selepas menjalani pembedahan.
Ini adalah kerana proses penyembuhan luka pembedahan akan mengalami beberapa fasa iaitu keradangan, proliferasi dan pematangan tisu. Penyembuhan yang baik bergantung kepada pelbagai faktor seperti tahap kebersihan luka, status pemakanan pesakit, kawalan penyakit kronik seperti diabetes, serta pematuhan terhadap jagaan luka pembedahan.
