Oleh Zainal Asnawi Asyraf
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2026 – Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan industri menerusi pemeteraian dua Surat Hasrat (LoI) bersama rakan strategik dalam bidang teknologi dan pergigian digital.
Kedua-dua pemeteraian tersebut telah dilaksanakan di Kuala Lumpur Convention Centre, yang turut menjadi lokasi berlangsungnya Malaysia International Dental Exhibition & Conference (MIDEC) 2026.
Kedua-dua pemeteraian telah diwakili oleh Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom.
Pemeteraian pertama melibatkan kerjasama antara Fakulti Pergigian dengan Straumann Group Sdn Bhd, yang diwakili oleh Ketua Komersial, Asia Tenggara, Mark Graham dan Apex Digital Dental Sdn Bhd, yang diwakili oleh Pengarahnya, Choe Wei Dee.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital dalam pendidikan dan amalan pergigian melalui penempatan Sirios X3 Intraoral Scanner bersama komputer riba yang serasi di Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian.
Inisiatif berkenaan dijangka menyokong aktiviti pendidikan, latihan klinikal serta penerapan teknologi pergigian digital dalam kalangan warga fakulti.
Selain itu, Fakulti Pergigian turut memeterai LoI bersama Digital Ortho Dental Sdn Bhd, yang diwakili oleh Pengerusinya, Bernard Ho Sze Yie dan Shining 3D Tech Co Ltd, yang diwakili oleh Penyelia Jualan, Henry Wang.
Kerjasama ini merangkumi penerokaan dan pelaksanaan teknologi pergigian digital melalui penempatan beberapa peralatan di Fakulti Pergigian, termasuk Aoralscan ELF Intraoral Scanner, Wireless Aoralscan Intraoral Scanner, MetiSmile 3D Facial Scanner, AccuFab CEL 3D Printer, FabWash Unit dan FabCure Unit.
Peralatan tersebut akan menyokong aktiviti pengajaran prasiswazah dan pascasiswazah, simulasi, latihan klinikal, demonstrasi aliran kerja pergigian digital, penyelidikan serta inovasi.
Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Tuti Ningseh berkata kerjasama itu merangkumi penganjuran latihan, bengkel, demonstrasi teknologi, perkongsian kepakaran serta penerokaan bersama dalam bidang pengimbasan intraoral, percetakan tiga dimensi dan pergigian digital.
“Kerjasama strategik bersama pihak industri ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendidikan, penyelidikan dan inovasi pergigian digital, di samping memberi pendedahan kepada warga fakulti terhadap teknologi serta kepakaran terkini,” katanya.
Beliau berkata pemeteraian kerjasama itu mencerminkan komitmen Fakulti Pergigian UKM dalam memperkukuh ekosistem akademia-industri serta memperluas peluang kolaborasi dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi pergigian.
“Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan pergigian yang kompeten, adaptif dan bersedia menghadapi perkembangan teknologi dalam amalan pergigian moden,” ujarnya.

