Oleh Dr. Afifah Mohamed
Foto Afiqah Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 3 September 2026 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama CODTIS FSK dan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah mengadakan program JOMSIHAT: Duta Kecil Kesihatan dan Minda Sihat dalam Kalangan Kanak-kanak Terpinggir yang memfokuskan kepada pemerkasaan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Program yang diadakan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini dilaksanakan dalam tiga fasa bagi memperkasa kanak-kanak dan remaja daripada komuniti rentan melalui pendedahan kepada ilmu kesihatan, psikologi, kesihatan mental, sains forensik serta halatuju pendidikan dan kerjaya dalam bidang Sains Kesihatan.
Guru Kaunseling SBJK, Najemiah Azlin Mohd Tahir berkata program JOMSIHAT memberi peluang kepada murid untuk belajar tentang kesihatan dengan cara yang santai dan menyeronokkan.
“Aktiviti yang dijalankan juga menarik dan memberi peluang kepada murid untuk bertanya serta berkongsi apa yang mereka pelajari,” katanya.
Fasa 1 program itu memberi tumpuan kepada pengenalan dan peningkatan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang Pengimejan Perubatan, Psikologi Klinikal dan Kesihatan Mental.
Bagi peserta berumur tujuh hingga 12 tahun, aktiviti Pengimejan Perubatan dilaksanakan secara interaktif melalui aktiviti ‘Detektif Tubuh Badan’ yang memperkenalkan fungsi organ utama seperti jantung, paru-paru, otak, perut, buah pinggang, tulang, hati, usus dan mata.
Peserta turut melukis tangan sendiri, membayangkan kedudukan tulang seperti imej X-ray sebelum meneka dan melengkapkan puzzle X-ray. Aktiviti ini membantu peserta memahami asas anatomi tubuh badan serta bagaimana teknologi X-ray digunakan untuk melihat struktur dalaman badan.
Sementara itu, peserta remaja pula mengikuti aktiviti Psikologi Klinikal yang merangkumi sesi ‘Memahami Minda Saya’ dan ‘Minda Sihat’.
Aktiviti memberi penekanan kepada pemahaman diri, tekanan dan kawalan emosi, termasuk pengenalan kepada teknik pernafasan dan mindfulness sebagai kaedah mudah untuk membantu mengurus emosi.
Dalam sesi Kesihatan Mental, peserta didedahkan kepada isu berkaitan kesihatan mental melalui aktiviti Body Drawing, Post-it Graffiti, perbincangan dan ceramah interaktif.
Aktiviti tersebut memberi ruang kepada peserta untuk menzahirkan pemikiran dan perasaan, di samping membina kefahaman bahawa mendapatkan sokongan dan bantuan merupakan langkah penting apabila berhadapan dengan cabaran emosi atau kesihatan mental.
Melalui program ini, UKM terus memperkukuh peranan universiti dalam membawa kepakaran dan ilmu Sains Kesihatan kepada komuniti, khususnya kumpulan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan peluang pendidikan kesihatan yang inklusif, mesra kanak-kanak dan bermakna.

