Kerugian Jenayah Siber Cecah RM2.97 Bilion Pada 2025

Oleh Siti Aisyah Wahama
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 September 2026 – Statistik kes jenayah siber di Malaysia melonjak hampir sekali ganda, daripada 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion pada tahun 2024 kepada 66,204 kes melibatkan kerugian RM2.97 bilion sepanjang tahun 2025.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan pelbagai pihak bagi membekukan dan mengembalikan wang yang dicuri oleh sindiket scam.

“Menurut laporan di Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, sebanyak RM5.16 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa, iaitu bersamaan 65 peratus daripada RM7.94 juta dana yang disita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan The 6th International Cyber Resilience Conference (CRC) 2026 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel.

Tambahnya, tiada mana-mana agensi yang mampu bertindak secara bersendirian dalam menghadapi ancaman siber ini.

“Kita memerlukan pendekatan ‘Whole-of-Government’ dan ‘Whole-of-Nation’ yang menggabungkan pihak penguatkuasa, industri, ahli akademik, pembekal teknologi serta kerjasama antarabangsa untuk bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa ancaman siber masa kini semakin mencabar susulan kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (Generative AI) yang disalahgunakan oleh penjenayah untuk melakukan penipuan kewangan dengan taktik mengklon suara serta menghasilkan video palsu (deepfake) yang sangat meyakinkan.

“Teknologi AI kini menjadi  ‘senjata baharu’ buat penjenayah siber. Mereka menggunakannya untuk menulis mesej penipuan dalam pelbagai bahasa, mengklon suara dan mencipta video deepfake yang kelihatan serta berbunyi sangat realistik.

“Penjenayah menggunakan AI untuk membina profil palsu untuk menjerat mangsa. Malah, screenshot keuntungan pelaburan yang dihantar semuanya dihasilkan secara palsu, manakala panggilan video yang dilakukan setiap malam hanyalah penyamaran menggunakan teknologi deepfake.

“Mesin tidak mampu untuk mengatasi jenayah secara menyeluruh, namun AI boleh membantu. Jika penjenayah berjaya menguasai AI lebih cepat daripada kita, kita akan tewas dalam perjuangan ini, tidak kira berapa banyak teknologi yang kita beli,” jelas beliau.

Ia juga merupakan anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber Malaysia (CSAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan IEEE Computer Society Malaysia Chapter.

Leave a Reply