Program Penyiasat Forensik Cilik Perkenalkan Sains Forensik kepada Kanak-Kanak Terpinggir

Oleh Prof. Madya Dr. Noor Hazfalinda Hamzah
Foto
Afiqah Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 7 September 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), mengadakan Program Penyiasat Forensik Cilik bagi mendedahkan asas sains forensik kepada kanak-kanak Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengalami sendiri suasana penyelidikan sains secara praktikal.

Program itu menghimpunkan seramai 59 orang murid berusia tujuh hingga 12 tahun, termasuk kanak-kanak yang belum mahir membaca.

Program ini merupakan fasa kedua inisiatif Jom Sihat: Duta Kecil Kesihatan dan Minda Sihat dalam Kalangan Kanak-Kanak Terpinggir, yang dibiayai sepenuhnya oleh Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) 2026.

Ketua Geran, Dr. Afifah Mohamed menjelaskan bahawa Jom Sihat pada dasarnya bertujuan memperkenalkan pelbagai bidang sains kesihatan kepada kanak-kanak, dan Penyiasat Forensik Cilik dipilih sebagai salah satu program pengenalan pada fasa ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Forensik, Ts. ChM. Dr. Atikah Mohd Nasir berkata kanak-kanak itu “direkrut” sebagai penyiasat sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke sesi tersebut, dan setiap kumpulan perlu menyelesaikan sebuah kes rekaan dengan mengesan, mengumpul serta menganalisis pelbagai jenis bahan bukti yang disediakan dalam lima stesen aktiviti.

“Kami tidak mahu kanak-kanak ini rasa mereka sedang belajar. Sebaik sahaja mereka sertai program ini, mereka menjadi penyiasat yang perlu menyelesaikan kes dan mengalami sendiri bagaimana siasatan di tempat kejadian jenayah dilakukan.

“Setiap stesen memberikan mereka pengetahuan tentang satu bahan bukti dan cara untuk mengesan, mengambil dan menganalisis bahan bukti tersebut,” katanya.

Reka bentuk program ini turut berpaksikan tiga elemen penting, iaitu penceritaan yang mengasyikkan, penggunaan bahan bergambar supaya kanak-kanak yang belum boleh membaca turut dapat mengikuti aktiviti dengan selesa, serta gabungan disiplin biologi, kimia dan fizik pada setiap stesen bagi mengukuhkan kefahaman STEM secara menyeluruh.

Semua kanak-kanak itu dipecahkan kepada lima kumpulan kecil dan melalui stesen pengenalan alatan forensik serta tempat kejadian jenayah, pengecaman corak cap jari, perbandingan kesan tapak kaki, kromatografi dakwat bagi mengesan penulis sebenar sekeping nota misteri, dan sesi mewarna yang turut berfungsi melatih kemahiran interpersonal mereka.

Tambah Dr. Atikah, di stesen kromatografi misalnya, para peserta dapat melihat sendiri bagaimana satu titik dakwat daripada pen gel merah terurai kepada beberapa lapisan warna apabila terkena cecair dan seterusnya menggunakan corak tersebut untuk mengesan pen yang digunakan menulis nota di tempat kejadian.

“Ramai antara mereka teruja apabila menyedari bahawa sains adalah menarik dan dapat diaplikasikan dalam siasatan bahan bukti tempat kejadian jenayah,” katanya, sambil menambah bahawa matlamat program ini turut merangkumi pembinaan keyakinan diri dan kesejahteraan minda kanak-kanak terpinggir melalui pengalaman menyelesaikan masalah bersama rakan sebaya dalam suasana yang selamat dan menggembirakan.

Penganjuran Program Penyiasat Forensik Cilik mencerminkan komitmen berterusan Program Sains Forensik UKM dalam memperluas akses pendidikan sains kepada kanak-kanak terpinggir, sekali gus menyokong Tekad 57 dan aspirasi universiti untuk memainkan peranan sebagai institusi yang turut prihatin terhadap kesejahteraan dan pembangunan holistik masyarakat, bukan sekadar pusat kecemerlangan akademik semata-mata.

Leave a Reply