Kem Remaja Perkasa Alam & Green Camp for Youth Tasik Chini 2026: Pupuk Kreativiti, Kemahiran Praktikal dan Inovasi

Oleh Dr Rozita Ibrahim
Fakulti Pengajian Sains Citra

Di tengah-tengah kekayaan alam, biodiversiti dan warisan komuniti Tasik Chini, Program Kem Remaja Perkasa Alam & Green Camp for Youth Tasik Chini 2026 membuka ruang kepada para peserta untuk menghayati alam bukan sekadar sebagai sesuatu yang perlu dipelihara, tetapi sebagai ruang pembelajaran, sumber inspirasi dan sebahagian daripada rangkuman kehidupan manusia.

Melalui pengalaman berada di lapangan secara langsung, peserta berpeluang meneroka, memerhati dan memahami hubungan dinamik antara manusia, alam sekitar dan komuniti dalam konteks sebenar.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini menjadikan Tasik Chini bukan sahaja sebagai lokasi program, tetapi juga sebagai living classroom yang menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan nilai dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik.

Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta tentang keunikan Tasik Chini Rizab Biosfera UNESCO sebagai sebuah landskap sosio-ekologi yang kaya dengan biodiversiti, warisan budaya dan kehidupan komuniti setempat.

Melalui pelbagai aktiviti lapangan, interaksi dengan persekitaran serta permainan pendidikan dalam talian (online educational game) yang dibangunkan melalui projek penyelidikan translasi UKM-TR2024-07, peserta dapat memahami isu alam sekitar dan kepentingan pemuliharaan dengan lebih dekat, kontekstual dan bermakna.

Pengalaman tersebut membolehkan pengetahuan yang diperoleh tidak hanya kekal sebagai fakta atau konsep, sebaliknya diterjemahkan melalui pemerhatian, penerokaan, interaksi, perbincangan dan pengalaman sebenar.

Pada masa yang sama, program ini dirangka untuk membentuk remaja yang bukan sahaja tahu tentang alam, tetapi turut merasai keterhubungan dengan alam dan mampu bertindak untuk alam.

Aktiviti berkumpulan dan pembelajaran secara kolaboratif menyediakan ruang untuk peserta mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama, penyelesaian masalah dan keyakinan diri.

Lebih daripada itu, pengalaman bersama rakan daripada latar belakang yang berbeza menggalakkan peserta berkongsi idea, membuat keputusan dan menyelesaikan tugasan secara bersama dalam suasana pembelajaran yang aktif dan inklusif.

Satu lagi dimensi penting program ialah usaha menterjemahkan pengetahuan dan pengalaman tentang alam kepada kreativiti, kemahiran praktikal dan potensi inovasi. Pengalaman yang diperoleh sepanjang aktiviti di Tasik Chini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada peserta untuk menghasilkan produk, karya atau persembahan yang boleh diterapkan dalam kelas-kelas kemahiran yang diikuti oleh pelajar Permata Remaja.

Pendekatan ini memperlihatkan bahawa pendidikan alam sekitar tidak terhad kepada kesedaran dan pemuliharaan semata-mata, tetapi turut mempunyai potensi untuk merangsang kreativiti, inovasi, kemahiran praktikal dan pemikiran keusahawanan.

Secara keseluruhannya, Program Kem Remaja Perkasa Alam & Green Camp for Youth Tasik Chini 2026 merupakan satu inisiatif pembelajaran yang menggabungkan alam sekitar, sains, budaya, komuniti, kreativiti dan pembangunan sahsiah dalam satu pengalaman yang saling melengkapi.

Melalui pengalaman di Tasik Chini, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu tentang alam dan biodiversiti, tetapi juga membina kemahiran, nilai tanggungjawab serta rasa penghargaan dan keterikatan terhadap alam.

Pengalaman ini diharapkan menjadi langkah awal dalam membentuk generasi remaja yang lebih berdaya tahan, kreatif, bertanggungjawab dan bersedia menjadi ejen kelestarian alam pada masa hadapan.

Leave a Reply