Pelajar Pergigian UKM Timba Pengalaman Antarabangsa di Jepun

Oleh  Zainal Asnawi Asyraf

KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Dua pelajar prasiswazah Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Program Mobiliti Luar Negara di Universiti Niigata, Jepun, baru-baru ini.

Program itu memberi pendedahan akademik dan klinikal yang komprehensif kepada peserta melalui penglibatan dalam pelbagai bidang kepakaran pergigian, termasuk Oral and Maxillofacial Surgery (OMFS), Anestesiologi Pergigian, Pergigian Pediatrik, Ortodontik, Prostodontik, Kejuruteraan Penjanaan Semula Tisu serta Rehabilitasi Disfagia.

Pengisian program turut merangkumi lawatan ke makmal penyelidikan, sesi perkongsian akademik serta aktiviti pertukaran budaya yang memperkayakan pengalaman antarabangsa para peserta.

Salah seorang peserta, Fatin Shafrinaz Roslen berkata beliau amat berterima kasih kepada Fakulti Pergigian UKM dan UKM Global atas sokongan serta peluang yang diberikan kepada mereka untuk menyertai program mobiliti di Universiti Niigata.

“Pengalaman ini telah memberikan kami pendedahan yang sangat bermakna terhadap amalan klinikal, penyelidikan dan inovasi pergigian di peringkat antarabangsa.

“Kami turut berpeluang mempelajari pendekatan baharu daripada para pensyarah dan pakar di Universiti Niigata, di samping mengenali budaya serta persekitaran akademik di Jepun.

“Saya berharap pengalaman ini dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan akademik dan profesional kami pada masa akan datang,” katanya.

Penyertaan dalam program tersebut bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk memperluas perspektif akademik dan meningkatkan pemahaman terhadap amalan klinikal serta penyelidikan pergigian di peringkat antarabangsa, malah turut membuka ruang kepada pertukaran ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pergigian.

Program mobiliti itu juga menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama dan hubungan antarabangsa antara Fakulti Pergigian UKM dan Universiti Niigata, selaras dengan usaha memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pembangunan kompetensi global dalam kalangan pelajar.

Leave a Reply