Fakulti Perubatan (Fper) dan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama bagi memastikan penyelidikan kesihatan lelaki di negara ini berlandaskan hukum syarak.
Kerjasama ini digerakkan oleh sebuah kumpulan penyelidikan pelbagai disiplin yang diketuai oleh Dr. Faizul Jaafar dan Prof. Dr. Mohd Faizal Ahmad dari Fper dan dekan FPI, Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Menurut Dr Faizul, penyelidikan kesihatan lelaki, khususnya kesihatan reproduktif, sering melibatkan prosedur yang sensitif seperti pengambilan sampel air mani.
“Bagi masyarakat Islam, prosedur seperti ini memerlukan panduan syarak yang jelas sebelum kajian dimulakan.
“Atas sebab itu, kumpulan penyelidikan telah mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.
Selain itu, penyelidik juga membentangkan isu hukum pengambilan sampel air mani daripada lelaki muda untuk tujuan penyelidikan.
Pembentangan ini dibuat di mesyuarat panel pakar syariah Malaysia bagi mendapatkan pandangan hukum yang berautoriti.
“Sains dan tuntutan agama tidak perlu bercanggah. Kami mahu setiap langkah kajian jelas kedudukan hukumnya sebelum ia dilaksanakan. Ini penting supaya masyarakat yakin untuk menyertai penyelidikan,” kata Dr. Faizul.
Sementara itu, Prof Dato’ Dr. Mohd Izhar berkata UKM komited menyokong penyelidikan perubatan yang membawa manfaat kepada ummah dan berlandaskan hukum syarak.
“Peranan kami adalah memastikan setiap aspek kajian berpandukan prinsip syariah,” katanya.
Tambahnya, kumpulan ini menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang klinikal, sains asas dan sains sosial.
“Gabungan kepakaran ini membolehkan isu kesihatan lelaki dikaji secara menyeluruh. Ia merangkumi aspek biologi, klinikal, psikologi dan sosial.
“Pendekatan ini boleh menjadi contoh kepada penyelidikan perubatan lain di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa kajian saintifik boleh dijalankan secara beretika dan sejajar dengan nilai masyarakat Islam,” katanya.

