Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
SEPANG, 2 Oktober 2026 – Inovasi tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut teknologi semata-mata, sebaliknya ia bermula dengan keberanian, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh.
Beliau berkata keberanian itu adalah keberanian untuk bertanya sama ada cara yang digunakan selama ini masih merupakan cara terbaik, dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Ada kalanya percubaan itu berjaya. Ada kalanya ia tidak memberikan hasil seperti yang kita harapkan.
“Tetapi itulah sebahagian daripada proses inovasi. Kita mencuba, belajar, memperbaiki dan mencuba semula,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (kNovasi) 2026, di sini.
Beliau berkata kecerdasan buatan (AI) kini digunakan oleh pelajar, pensyarah, penyelidik dan universiti, namun, dalam kesibukan masyarakat membincangkan AI, ada persoalan yang lebih penting untuk difikirkan.
“Teknologi akan terus berubah. Hari ini mungkin AI. Esok mungkin muncul sesuatu yang belum dapat kita bayangkan. Tetapi satu perkara yang tidak akan berubah ialah peranan manusia,” katanya.
Tambah beliau institusi pendidikan tinggi masih memerlukan pensyarah yang mampu memberi inspirasi, pelajar yang mempunyai rasa ingin tahu, penyelidik yang berani bertanya soalan yang sukar dan universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi juga insan yang mampu berfikir, menyesuaikan diri dan memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Kepada para inovator, pensyarah, penyelidik dan pelajar yang telah mengambil bahagian dalam kNovasi 2026, jangan biarkan idea yang telah dibangunkan hanya berakhir sebagai poster, prototaip atau pembentangan. Bawalah idea itu kembali ke bilik kuliah, makmal dan tempat kerja. Uji, kongsi, cari rakan kolaborasi dan kembangkan potensinya.
“Kerana ukuran sebenar inovasi bukan sekadar pada jumlah anugerah yang diterima, tetapi pada perubahan dan manfaat yang mampu dihasilkan selepas ini.
“Kita tidak perlu menunggu teknologi yang paling canggih untuk menjadi inovatif. Kita tidak perlu menunggu bajet yang besar, dan kita juga tidak perlu menunggu sehingga semuanya sempurna,” katanya.
kNovasi 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini menghimpunkan 98 inovasi dan 16 pembentangan makalah, termasuk penyertaan dari dalam dan luar negara yang mengetengahkan idea serta inovasi berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP).


