Bengkel Endodontik Moden Kukuhkan Jalinan Akademia-Industri

Oleh Zainal Asnawi Asyraf

KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan kompetensi profesional dan pendidikan pascasiswazah melalui penganjuran bengkel Modern MTA in Clinical Endodontics, yang menggabungkan kepakaran akademik, persatuan profesional dan pihak industri dalam memperkasa pengetahuan serta kemahiran klinikal dalam bidang endodontik.

Bengkel anjuran Program Doktor Endodontologi, Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian dengan kerjasama Persatuan Endodontik Malaysia (MES) menghimpunkan pelajar-pelajar pascasiswazah program kepakaran kedoktoran dalam bidang Endodontologi dan Pergigian Restoratif dan pengamal-pengamal pergigian dalam kalangan ahli MES.

Ketua Jabatan Pergigian Restoratif merangkap Pakar Perunding Endodontik, Prof Madya Dr Eason Soo berkata penganjuran bengkel berasaskan kepakaran dan teknologi semasa ini amat penting bagi memastikan pendidikan pascasiswazah sentiasa selari dengan perkembangan amalan klinikal dan keperluan profesion.

“Pendedahan kepada teknologi, bahan dan pendekatan klinikal yang terkini amat penting dalam memastikan graduan pascasiswazah bukan sahaja mempunyai asas ilmu yang kukuh, tetapi turut mampu mengaplikasikan pengetahuan tersebut secara kritikal dan berasaskan bukti dalam amalan klinikal,” katanya.

Bengkel Modern MTA in Clinical Endod turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutifdan Pengarah Penyelidikan BioMTA merangkap Clinical Adjunct Professor di Seoul National University Dental Hospital, Dr. Yoo Jun-Sang sebagai penceramah jemputan. Kepakaran beliau dalam bidang biomaterial endodontik memberikan pendedahan langsung kepada peserta terhadap perkembangan terkini serta aplikasi klinikal Mineral Trioxide Aggregate (MTA) dalam rawatan endodontik moden.

Melalui bengkel ini, peserta bukan sahaja mengikuti sesi perkongsian ilmu, malah turut didedahkan kepada aspek pemilihan bahan pergigian, teknik pengendalian dan aplikasi klinikal MTA menerusi sesi ceramah, demonstrasi serta latihan praktikal.

Pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal ini memberi peluang kepada semua peserta untuk memahami dengan lebih mendalam penggunaan biomaterial moden dalam menangani pelbagai keperluan klinikal endodontik, sekali gus menjadikan bengkel berkenaan sebagai platform pembangunan kompetensi yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan aplikasi klinikal sebenar.

Pada masa yang sama, penganjuran bengkel ini menyerlahkan kepentingan kolaborasi strategik antara akademia, persatuan profesional dan pihak industri dalam menyokong pembangunan bidang pergigian. Jalinan kerjasama dengan BioMTA dan TKDS turut memberi nilai tambah menerusi perkongsian kepakaran, teknologi, serta perkembangan terbaharu berkaitan biomaterial endodontik.

Penganjuran program ini juga seiring dengan usaha Fakulti Pergigian untuk memperkukuh pendidikan dan latihan pascasiswazah yang berorientasikan evidence-based practice, inovasi serta pembelajaran sepanjang hayat. Pendekatan ini penting bagi memastikan pengamal pergigian sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat teknologi dan sains biomaterial dalam bidang pergigian.

Leave a Reply