Sistem Kesihatan Perlu Jamin Penjagaan Sepanjang Hayat Pesakit Palsi Serebrum

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

SHAH ALAM, 11 Oktober 2026 — Sistem kesihatan perlu menyediakan penjagaan sepanjang hayat kepada individu dengan palsi serebrum (CP), termasuk akses kepada rawatan, rehabilitasi dan sokongan yang membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan bermaruah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, keperluan individu dengan CP berubah seiring dengan peningkatan usia daripada zaman kanak-kanak hingga remaja dan dewasa.

Justeru, perkara ini memerlukan sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan berterusan.

“Cabaran ini melangkaui fasa kanak-kanak. Mereka akan terus menjadi remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa.

“Mereka tidak memerlukan simpati daripada kita semata-mata. Apa yang mereka perlukan ialah ekosistem kesihatan yang menyediakan pengurusan sepanjang hayat.

“Apa yang mereka perlukan ialah ekosistem kesihatan yang memberikan mereka peluang supaya mereka dapat hidup dengan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Cerebral Palsy Symposium 2026 yang bertemakan Unified Care for Cerebral Palsy: Advancing Lifelong Care, Inclusion and Possibilities.

Menurut beliau, penjagaan individu dengan CP perlu melangkaui rawatan klinikal dan turut merangkumi peluang mendapatkan pendidikan, pekerjaan, membina hubungan serta berkeluarga.

Katanya, prinsip keterangkuman dan leaving no one behind perlu menjadi asas sistem kesihatan bagi memastikan setiap individu mendapat akses kepada perkhidmatan yang sewajarnya tanpa berdepan kesukaran kewangan yang membebankan.

“Kita hanya akan dapat mengatakan bahawa negara kita sudah mencapai Universal Health Coverage apabila kita memberikan layanan dan aksesibiliti kepada setiap insan tanpa kekangan dan kesukaran kewangan yang serius,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan individu dengan CP dipenuhi, termasuk melalui janji temu hospital, rawatan dan pemantauan perkembangan.

Menurutnya, setiap pencapaian kecil anak-anak ini turut melibatkan pengorbanan besar keluarga yang memberikan penjagaan dengan penuh kasih sayang dan ihsan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata usaha membantu individu dengan CP tidak boleh diletakkan pada satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sokongan perubatan, peralatan rehabilitasi dan keperluan keluarga dapat dipenuhi secara berterusan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan bantuan melalui tabung berkaitan bagi membantu memenuhi keperluan alat bantuan perubatan dan peralatan rehabilitasi, tertakluk kepada penilaian yang bersesuaian.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui sektor orang kurang upaya telah memulakan perbincangan strategik ke arah pembangunan Pelan Strategik OKU.

“Inisiatif itu turut merangkumi perancangan pembangunan registri OKU di peringkat kebangsaan, dengan data dan profil keperluan komuniti palsi serebrum dicadangkan untuk diintegrasikan bagi membantu perancangan perkhidmatan yang lebih tersusun,” katanya.

Simposium ini merupakan anjuran Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) bersama Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta beberapa rakan strategik lain.

Pada majlis ini juga, GAPS dan UKM turut mengadakan pertukaran memorandum persefahaman bagi memperkasa kerjasama dalam bidang kajian dan rehabilitasi CP.

UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Md Ali dan Prof Madya Dr Rafidah Mazlan mewakili Dekan FSK.

Sementara itu, GAPS diwakili oleh Pengasas dan Presiden, Puan Rafidah @ Rafizah Ahmad dan Ahli Terapi, Rohaya Taharin.

Leave a Reply