Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
CHERAS, 15 Oktober 2026 – Program pensijilan profesional yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memantapkan kepimpinan pegawai kanan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Menurut Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, program pensijilan itu merupakan pelaburan strategik yang penting dalam pembangunan modal insan PDRM.
“Ia dimulakan selepas memorandum persefahaman ditandatangani pada 22 Ogos 2024 dan dilaksanakan menerusi lapan program sepanjang tempoh 2025 hingga 2027.
“Inisiatif ini merupakan satu pelaburan strategik organisasi dalam menyediakan barisan pemimpin yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” ujar beliau semasa membacakan teks ucapan Timbalan Ketua Polis Negara dalam Majlis Graduasi Sijil Profesional Kepimpinan Polis Diraja Malaysia Kalis Masa Depan Tahun 2026, di sini.
Pada majlis itu, seramai 193 kanan pegawai PDRM menerima Sijil Profesional Kepimpinan Tertinggi Dalam Kepolisan, Sijil Profesional Kepimpinan Strategik Kepolisan, Sijil Profesional Kepimpinan Pengoperasian Kepolisan dan Sijil Profesional Kepolisan Moden Berteraskan Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr Ismanizan Ismail.
Seiring dengan dasar pembangunan potensi, program pensijilan itu menggabungkan kepakaran institusi penguatkuasaan dan akademik dalam membina pemimpin berilmu dan berkompeten.
Datuk Mohamad Zainal berkata menerusi program-program kepimpinan tersebut, PDRM bukan sahaja dapat memperkukuh kesinambungan barisan kepimpinan yang berkualiti, malah berupaya memacu penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cemerlang dan berterusan, seiring aspirasi ke arah world class policing.
Sementara itu, Prof. Dr Ismanizan berkata kerjasama dalam pelaksanaan program profesional itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam melonjak tahap profesionalisme dan kompetensi warga PDRM melalui pembangunan modal insan yang berilmu, kompeten, berintegriti serta memiliki kepakaran khusus yang relevan dengan tuntutan keselamatan semasa.
“Pada masa yang sama, kejayaan para graduan ini turut mengetengahkan keberhasilan kolaborasi strategik PDRM dan UKM dalam memperkasakan kepimpinan dan kompetensi keselamatan negara,” katanya.
Selain program pensijilan, UKM dan PDRM juga menawarkan program Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Kepolisan serta inisiatif lain yang memperluas pendedahan pegawai kepada perkembangan terkini termasuk kecerdasan buatan dan keselamatan siber.


