Pelajar UKM Antara 12 daripada 200 Peserta Terpilih IBRO School 2026

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2026 – Pelajar pascasiswazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Amirul Hafiz Ahmad Abdullah telah mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa apabila menjadi antara 12 daripada 200 penyelidik muda di rantau Asia-Pasifik yang terpilih untuk menyertai International Brain Research Organization – Asia-Pacific Regional Committee (IBRO-APRC) Associate School 2026.

Lebih membanggakan, beliau turut menerima Outstanding Poster Presentation Award sempena Tsukuba Global Science Week 2026 (TGSW2026) di University of Tsukuba, Jepun.

Menurut Amirul Hafiz, peluang mengikuti program antarabangsa itu merupakan pengalaman yang amat berharga kerana membolehkannya mempelajari pendekatan baharu dalam bidang neurosains, di samping bertukar pengetahuan dan pengalaman dengan penyelidik muda dari pelbagai negara.

“Latar belakang penyelidikan saya lebih tertumpu kepada penyakit neurodegeneratif, khususnya penyakit Alzheimer, serta analisis molekul.

“Melalui program ini, saya berpeluang mempelajari bidang neurosains daripada perspektif yang lebih luas, terutamanya berkaitan fungsi litar neuron dan mekanisme yang mengawal tingkah laku,” katanya.

Beliau amat bersyukur kerana terpilih menyertai program itu, di samping berpeluang membentangkan hasil penyelidikan saya di peringkat antarabangsa.

“Penerimaan anugerah ini merupakan satu penghargaan yang amat bermakna dan memberikan motivasi kepada saya untuk terus belajar serta memperbaiki kemahiran dalam bidang penyelidikan,” katanya.

Amirul Hafiz yang menjalankan penyelidikan di Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE) FSK, di bawah seliaan Dr. Farah Wahida Ibrahim telah membentangkan poster penyelidikan bertajuk “From Behaviour to Biomarkers: Temporal Neurotrophic Dysregulation and Cell Death Transition During Early Alzheimer’s Disease Progression” yang memfokuskan perubahan molekul sepanjang perkembangan awal penyakit Alzheimer.

Menurutnya, penyelidikan yang dijalankan adalah meneliti perubahan tingkah laku dan fungsi kognitif serta ketidakseimbangan faktor neurotrofik terbitan otak (brain-derived neurotrophic factor, BDNF) dan proBDNF.

“Kajian ini turut meneroka penglibatan mekanisme kematian sel, khususnya apoptosis dan piroptosis bagi mengenal pasti calon penanda molekul yang berpotensi membantu pemahaman terhadap perkembangan awal penyakit Alzheimer,” katanya.

IBRO-APRC Associate School 2026 menghimpunkan penyelidik muda daripada pelbagai negara dan latar belakang penyelidikan untuk mendalami ilmu neurosains, khususnya berkaitan neurobiologi tidur, kognitif dan tingkah laku sosial.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai pendekatan penyelidikan yang merangkumi fungsi bahagian otak, litar neuron serta mekanisme molekul yang mendasari tingkah laku.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan potensi penyelidik muda UKM untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah turut memperlihatkan komitmen universiti dalam melahirkan penyelidik yang berdaya saing serta menyumbang kepada perkembangan ilmu sains kesihatan dan neurosains di peringkat global.

Leave a Reply