UKM dan MPOB Bakal Bangunkan Palm Science Park dan Pusat Kecemerlangan Sawit

BANGI, 3 November 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bakal membangunkan Palm Science Park dan Pusat Kecemerlangan Sawit (Sawit Centre of Excellence) sebagai platform strategik yang menggabungkan kepakaran akademik dan industri bagi memperkukuh penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi dalam industri sawit negara.

Cadangan pembangunan Palm Science Park berpotensi menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi berimpak tinggi, khususnya mekanisasi dan automasi industri sawit, aplikasi teknologi kuantum serta pembangunan pusat data (data centre) yang mengaplikasikan teknologi berasaskan sawit.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata pembangunan Palm Science Park dan Pusat Kecemerlangan Sawit berpotensi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui gabungan kepakaran UKM dan MPOB dalam meneroka teknologi baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri sawit negara.

“Melalui gabungan kepakaran UKM dan MPOB, inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka peluang kepada pembangunan teknologi baharu dan pengkomersialan hasil penyelidikan, malah memperkukuh kerjasama rentas disiplin dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan kelestarian industri sawit negara,” katanya.

Tambah beliau, cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Sawit melalui Kursi Endowmen MPOB-UKM pula dilihat berpotensi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan kepakaran berkaitan industri sawit.

“Pusat ini dicadangkan sebagai platform yang menghimpunkan kepakaran penyelidik UKM dan MPOB dalam melaksanakan penyelidikan strategik, pembangunan modal insan, perkongsian pengetahuan serta pemindahan teknologi bagi menangani cabaran semasa dan masa hadapan industri sawit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd turut menyambut baik usaha memperluas kerjasama strategik bersama UKM, khususnya dalam memanfaatkan kepakaran akademik dan penyelidikan universiti bagi menangani cabaran serta memenuhi keperluan industri sawit.

“UKM mempunyai kepakaran yang luas dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi, kejuruteraan, ekonomi dan sains sosial, yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama penyelidikan dengan MPOB.

“Gabungan kepakaran ini berpotensi menghasilkan penyelesaian yang inovatif dan praktikal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan kelestarian industri sawit negara,” katanya.

Cadangan penubuhan Palm Science Park dan Pusat Kecemerlangan Sawit itu merupakan antara fokus utama yang dibincangkan semasa kunjungan MPOB ke UKM, semalam.

Dalam pertemuan itu, perbincangan turut memberikan tumpuan kepada projek penyelidikan sosioekonomi yang merangkumi pembangunan komuniti, kesejahteraan pekebun kecil, peningkatan produktiviti, pengurusan tenaga kerja serta daya saing industri sawit.

Kerjasama ini berpotensi menghasilkan dapatan penyelidikan berasaskan bukti serta cadangan dasar yang dapat menyokong pembangunan industri sawit secara inklusif, berdaya saing dan mampan.

Leave a Reply