UKM Cipta Sejarah, Pertama Kali Berada Di Kedudukan 20 Universiti Terbaik Asia

BANGI, 4 NOVEMBER 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila buat pertama kali menempatkan diri di kedudukan 20 universiti terbaik Asia menerusi QS Asia University Rankings 2027.

Penarafan ini menyaksikan UKM melonjak ke kedudukan keempat di Asia Tenggara dan kedua di Malaysia.

Kejayaan ini juga merupakan pencapaian tertinggi UKM sejak penarafan itu diperkenalkan pada 2009, meningkat empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Dalam tempoh sedekad, UKM melonjak 35 anak tangga daripada kedudukan ke-55 pada 2017 kepada ke-20 pada 2027.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh menyifatkan kejayaan ini sebagai mercu tanda penting yang membanggakan seluruh warga universiti dan negara.

“Kejayaan menembusi kelompok 20 universiti terbaik Asia buat pertama kali membuktikan keupayaan UKM untuk berdiri sebaris dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka di rantau ini.

“Pencapaian ini merupakan hasil iltizam, usaha kolektif dan komitmen seluruh warga UKM dalam membudayakan kecemerlangan yang berterusan dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.

“Lebih penting, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Pelan Strategik UKM 2026–2030 (TEKAD57) dalam merealisasikan aspirasi universiti bertaraf dunia yang berjiwa kebangsaan, berteraskan kecemerlangan ilmu, kelestarian dan impak kepada masyarakat,” katanya.

Pada masa yang sama, Sufian berkata penarafan bukan satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah universiti.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana UKM dapat menyediakan pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan yang memberi kesan kepada masyarakat dan melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan semasa.

“Sebagai contoh, inisitif UKM bersama Massachusetts Institute of Technology (MIT) Open Learning melalui program Universal AI menyediakan akses selama tiga tahun kepada pelajar dan kakitangan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Usaha seperti ini akan terus menjadi keutamaan UKM bagi meningkatkan kemahiran warga universiti agar kekal relevan dan terus menyumbang kepada peningkatan prestasi dan daya saing UKM di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Tambah Sufian, kejayaan berada dalam kelompok 20 terbaik Asia itu bukan sekadar pencapaian dalam penarafan antarabangsa, malah lambang keupayaan universiti kebangsaan untuk mengangkat kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia ke persada dunia, tanpa mengabaikan identiti, tanggungjawab dan aspirasi negara.

“UKM akan terus memperkukuh momentum kecemerlangan ini melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi demi kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negara,” katanya.

Leave a Reply