MCAIT 2026 Perkukuh Sinergi AI UKM-Universiti Taibah

Oleh Shahrul Azman Mohd Noah
Foto Universiti Taibah

MADINAH, 18 November 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menganjurkan Persidangan International Multi-Conference on Artificial Intelligence Technology (MCAIT) di Universiti Taibah, Arab Saudi, baru-baru ini.

Majlis perasmian persidangan disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Wilayah Madinah, Putera Saud Nahar.

Beliau berkata penganjuran persidangan antarabangsa itu amat bermakna dalam usaha membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh jaringan kerjasama akademik di peringkat global.

“Kita perlu memastikan setiap hasil penyelidikan kecerdasan buatan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak nyata kepada masyarakat global.

“Sinergi strategik antara institusi seperti ini bukan sahaja memacu inovasi, malah bergerak seiring dengan aspirasi Wawasan Saudi 2030,” katanya.

Beliau berkata pembangunan bakat tempatan serta kerjasama akademik antarabangsa mampu menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat global seiring perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penganjuran edisi kali ini adalah kerjasama strategik antara Universiti Taibah dan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) dalam usaha memacu inovasi AI di peringkat antarabangsa.

MCAIT 2026 menjadi platform pertemuan ilmuwan dan penyelidik dari 98 universiti merentasi 37 buah negara bagi membincangkan pendekatan strategik serta membentangkan hasil kajian yang memberikan sinergi baharu dalam bidang kecerdasan buatan.

Sebanyak 142 kertas penyelidikan yang telah melalui proses semakan setara (peer-reviewed) turut diterima dan diterbitkan menerusi prosiding Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE).

Kesemua pembentangan memfokuskan kepada lima trek utama iaitu teknologi AI termaju, aplikasi AI merentas sektor, sistem pintar dan keselamatan siber, teknologi data baharu muncul serta bandar pintar.

Leave a Reply