Kajian DBA Ketua Menteri Melaka Realisasikan Projek Rintis Kampung Digital Melaka

BANGI, 27 November 2026 – Kajian akademik mengenai pendigitalan alamat rumah tradisional yang dijalankan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB), berjaya direalisasikan sebagai projek perintis Kampung Digital di negeri Melaka.

Beliau berkata, penyelidikan selama lebih dua tahun setengah bersama barisan penyelia dan pensyarah UKM itu bertujuan menambah baik sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, penggunaan alamat perbatuan sejak era pascakemerdekaan menyebabkan satu alamat dikongsi oleh 500 hingga 1,000 penduduk di kampung-kampung tradisional, sekali gus menyukarkan penyaluran maklumat dan urusan rasmi kerajaan sampai terus ke sasaran.

“Menerusi kajian yang telah dijalankan bersama pensyarah UKM ini, semua rumah kampung tradisional di Melaka telah berjaya diberikan nombor rumah, nama jalan serta alamat digital yang dilengkapi dengan kod QR.

“Kita tidak lagi boleh kekal dalam kaedah pengurusan konvensional. Inisiatif ini menyediakan laluan yang lebih tersusun dan terancang untuk generasi akan datang dalam dunia serba digital, serta berpotensi dimanfaatkan oleh pentadbiran kerajaan di seluruh negara,” katanya.

Datuk Seri Ab Rauf berkata demikian selepas menerima Ijazah DBA pada Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM, di sini.

Mengulas mengenai cabaran membahagikan masa di sebalik kesibukan tugas hakiki sebagai Ketua Menteri, katanya beliau memperuntukkan sekurang-kurangnya empat jam setiap bulan khusus untuk mengikuti pengajian dan menyelesaikan penyelidikan secara terperinci.

Tambah beliau, penguasaan ilmu amat penting kerana hasil rujukan daripada kajian tersebut bukan sahaja menyelesaikan isu pentadbiran semasa, malah menjadi pemangkin kepada sistem pengurusan masyarakat yang lebih cekap, tepat dan pantas pada masa hadapan.

Leave a Reply