Adakah Firma Sektor Keluli di Malaysia Bersedia Menerima Dasar Harga Karbon?

Oleh Prof. Madya Dr. Fathin Faizah Said, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Dasar harga karbon ialah satu kaedah ekonomi yang mengenakan kos kewangan atas pembebasan gas rumah hijau. Ia bertujuan mendorong syarikat mengurangkan pencemaran udara dan beralih kepada tenaga bersih. Negara seperti Malaysia membangunkan rangka kerja ini untuk menyokong sasaran pelepasan sifar bersih.

Bagi melihat sejauhmana penerimaan firma sektor keluli ini dengan dasar cukai karbon, penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian tentang bagaimana kos karbon dan insentif cukai hijau mempengaruhi kesediaan firma menerima dan melaksanakan dasar karbon, khususnya dalam sektor keluli Malaysia.

Kajian yang dibiayai oleh geran Transdiciplinary Research Grant Scheme (TRGS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia yang ingin melaksanakan Dasar Cukai Karbon Negara.

Malaysia melalui Nationally Determined Contribution (NDC), memberi komitmen mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus berbanding KDNK tahun 2005 menjelang tahun 2030 dan mensasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.   

Kajian ini penting kerana pelepasan karbon menimbulkan kesan eksternaliti negatif kepada masyarakat. Oleh itu, penetapan harga karbon seperti cukai karbon dan Emission Trading Scheme (ETS) diperlukan untuk mencerminkan kos sosial pelepasan karbon. Namun, keberkesanan dasar tersebut bergantung kepada kemampuan firma menanggung kos serta manfaat insentif yang ditawarkan.

Dua instrumen utama yang diketengahkan ialah cukai karbon dan ETS. Cukai karbon menetapkan harga langsung terhadap pelepasan karbon dan memberikan kepastian kos kepada firma. Sebaliknya, ETS menggunakan mekanisme pasaran dengan menetapkan had pelepasan serta membenarkan firma berdagang permit pelepasan. Kedua-duanya meningkatkan kos pengeluaran, tetapi menghasilkan tindak balas strategik yang berbeza daripada firma.

Dapatan Kajian Utama

Dapatan kajian menunjukkan bahawa firma mempunyai keutamaan berbentuk U-terbalik terhadap kos karbon. Pada peringkat awal, penerimaan terhadap dasar karbon meningkat apabila kos karbon meningkat sehingga pada nilai ambang iaitu RM17.44 setiap tan pelepasan karbon. Namun, apabila kos menjadi lebih tinggi dari nilai ambang, penerimaan firma mula menurun. Ini menunjukkan bahawa firma mempunyai tahap toleransi tertentu terhadap kos karbon sebelum kos tersebut dianggap membebankan.

Kajian turut mendapati bahawa insentif cukai hijau merupakan faktor penting dalam meningkatkan penerimaan dasar karbon. Firma sanggup membayar premium bagi mendapatkan insentif yang dapat mengecualikan atau mengurangkan beban cukai karbon. Anggaran marginal willingness-to-pay bagi insentif cukai hijau adalah sekitar RM10.66 hingga RM15.86 bagi setiap tan karbon. Hal ini menunjukkan bahawa insentif fiskal boleh menjadi mekanisme penting untuk menggalakkan firma menerima dasar iklim.

Bagi firma industri keluli, harga karbon merupakan faktor yang paling kritikal dalam menentukan keutamaan dasar. Walaupun faktor seperti kecairan pasaran, persaingan dan fleksibiliti pematuhan turut penting, firma lebih sensitif terhadap implikasi kewangan langsung daripada harga karbon dan insentif cukai.

Dari perspektif latar belakang, industri keluli merupakan sektor yang signifikan dalam isu perubahan iklim. Data oleh European Commission menunjukkan pelepasan karbon global pada tahun 2024 menunjukkan sebanyak 39,632.70 mega tan, manakala pelepasan karbon Malaysia mencapai 295.95 mega tan. Pelepasan daripada proses perindustrian Malaysia pula sekitar 19.47 mega tan, dengan industri keluli menyumbang kira-kira 4.5 peratus daripada jumlah pelepasan karbon Malaysia.

Implikasi Dasar

Kajian mencadangkan beberapa strategi utama. Pertama, harga karbon perlu ditetapkan secara optimum supaya dapat menggalakkan pengurangan pelepasan tanpa menimbulkan tentangan berlebihan daripada firma. Kedua, kerajaan perlu menyediakan insentif cukai yang kukuh, konsisten dan boleh diramal bagi mengimbangi kos pematuhan dan menggalakkan pelaburan rendah karbon.

Ketiga, kerajaan perlu memastikan kecairan pasaran dan persaingan, khususnya dalam pelaksanaan ETS, supaya firma mempunyai fleksibiliti untuk mengambil bahagian. Keempat, pendekatan berfasa serta sokongan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diperlukan bagi memastikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon berlaku secara adil.

Secara keseluruhannya, dasar karbon yang berkesan bukan sekadar bergantung kepada penetapan harga karbon. Sebaliknya, ia memerlukan gabungan harga karbon yang strategik, insentif cukai yang menarik, reka bentuk pasaran yang baik serta dasar yang konsisten dan boleh diramal. Pendekatan sedemikian dapat meningkatkan kesediaan firma menerima dasar iklim dan pada masa yang sama menyokong pembangunan industri yang kompetitif, mampan dan rendah karbon.

Leave a Reply