Enam Mahasiswa KBH Sertai Mobiliti Antarabangsa, Tingkat Kefahaman Rentas Budaya

SURABAYA (INDONESIA), 18 Ogos 2026 – Enam mahasiswa dari Kolej Burhanuddin Helmi (KBH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama tiga pegawai pengiring telah menyertai program mobiliti antarabangsan di Indonesia bagi memperluas perkongsian ilmu, meningkatkan kefahaman rentas budaya serta mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

Program D’Gators ASEAN NEXUS 2026 yang dianjurkan bersama antara KBHdengan kerjasama Universitas Airlangga (UNAIR) dan Universitas Negeri Surabaya (UNESA) menampilkan pelbagai aktiviti akademik, kemasyarakatan dan pertukaran budaya termasuk kuliah jemputan bertajuk “Empowering Future Leaders Through Holistic Residential College Education: The Kolej Burhanuddin Helmi Experience” yang disampaikan oleh Pengetua KBH, Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda Hassan.

Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda, program mobiliti antarabangsa itu penting dalam mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi cabaran dunia global yang semakin dinamik.

“D’Gators ASEAN NEXUS 2026 bukan sekadar program mobiliti, tetapi platform strategik yang membentuk mahasiswa menjadi individu berfikiran global, berkemahiran tinggi dan mampu beradaptasi dalam persekitaran antarabangsa.

“Hubungan erat yang terjalin bersama UNAIR dan UNESA diharap dapat terus berkembang melalui lebih banyak kolaborasi akademik, penyelidikan dan pembangunan mahasiswa pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan mahasiswa dalam pembentangan akademik, dialog rentas budaya dan aktiviti komuniti turut memberi pengalaman bermakna dalam meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan memimpin dan berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa.

“Program ini turut menyediakan peluang kepada mahasiswa UKM membentangkan hasil penyelidikan di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkasa kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan mereka untuk berkongsi idea dalam persekitaran akademik global,” ujarnya.

Selain pengisian akademik, peserta turut menyertai aktiviti pertukaran budaya bersama mahasiswa Indonesia dan komuniti setempat. Aktiviti berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi nilai, budaya dan amalan terbaik, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

D’Gators ASEAN NEXUS 2026 turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pengalaman pembelajaran antarabangsa; SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh menerusi pemupukan persefahaman serta keharmonian rentas budaya; dan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat melalui pengukuhan kolaborasi strategik antara UKM, UNAIR dan UNESA.

Kerjasama tersebut berpotensi diperluas dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan mahasiswa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada warga universiti untuk memperoleh pengalaman dan jaringan di peringkat serantau.

Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda berkata penganjuran D’Gators ASEAN NEXUS 2026 mencerminkan komitmen UKM dalam memperluas jaringan antarabangsa serta melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kompetensi global, berdaya saing dan mampu membawa imej Malaysia di pentas antarabangsa.

Selaras dengan aspirasi UKM Global dan slogan “Daya, Dedikasi, Dinamik”, program berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi serantau serta menyumbang kepada pembangunan komuniti ASEAN yang lebih inklusif, progresif dan mampan.

Leave a Reply