Aktif Berpersatuan, Pelajar Fakulti Pendidikan UKM dinobatkan Sebagai Tokoh Siswa UKM 2025

BANGI, 22 Mei 2026 – Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Haikal Hamidi diumumkan sebagai Tokoh Siswa UKM 2025, pada majlis Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025, sekali gus meletakkan beliau sebagai antara wajah kepimpinan mahasiswa paling menyerlah di universiti berkenaan.

Muhammad Haikal yang merupakan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) sesi 2025/2026 diangkat sebagai tokoh siswa berdasarkan pencapaian cemerlang beliau dalam kepimpinan, penglibatan organisasi, keterlihatan mahasiswa serta sumbangan berterusan kepada komuniti kampus dan negara.

Menurutnya, anugerah tersebut bukanlah satu noktah kejayaan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk terus membawa suara mahasiswa dengan matang, beradab dan berkesan.

“Anugerah ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar untuk saya terus berkhidmat kepada mahasiswa.

“Kepimpinan bukan hanya tentang jawatan atau kedudukan, tetapi tentang keberanian untuk mendengar, memahami dan menyelesaikan isu yang dekat dengan kehidupan pelajar,” katanya yang turut memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Eksekutif Kolej Pendeta Za’aba 2024/2025, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) UKM 2025/2026, Ketua Pemudah Cara Minggu Mesra Mahasiswa 2025/2026 serta Biro Kebajikan Majlis Persatuan Pelajar Kebangsaan 2025/2026.

Selain itu, beliau turut mewakili UKM dan Malaysia ke Global Student Leadership Summit 2026, yang membuktikan bahawa mahasiswa UKM bukan sahaja menyerlah di peringkat universiti, malah mampu membawa imej kepimpinan negara ke pentas antarabangsa.

Beliau berkata, pengalaman memimpin pelbagai organisasi mahasiswa membentuk dirinya untuk lebih memahami makna sebenar kepimpinan yang berpaksikan khidmat, empati dan tanggungjawab sosial.

“Saya percaya setiap mahasiswa mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin. Yang penting, kita berani melangkah, berani memikul amanah dan tidak melihat kepimpinan sebagai keistimewaan, tetapi sebagai ruang untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Bertemakan “Songket dan Tradisi”, majlis tersebut turut mengiktiraf dua mahasiswa orang kurang upaya (OKU) apabila Muhammad Nur Amjadh Asabdeen dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) menerima Anugerah Tokoh Inklusif Siswa dan Tan Guan You dari Fakulti Undang-Undang (FUU) menerima Anugerah Tokoh Tengku Ampuan Afzan.

Kejayaan kedua-dua mahasiswa itu mencuri tumpuan kerana mereka bukan sahaja berjaya membuktikan kemampuan diri, malah tampil sebagai simbol ketabahan, keberanian dan semangat inklusif yang menjadi tunjang kepada pembangunan mahasiswa di UKM.

Pengiktirafan kepada mahasiswa OKU itu juga memperlihatkan komitmen UKM dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih adil, menyantuni kepelbagaian dan memberi ruang kepada semua pelajar untuk menyerlah berdasarkan kekuatan serta potensi masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Program Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 merangkap Timbalan Pengarah Kepimpinan, Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata anugerah itu dirangka sebagai platform pengiktirafan yang menyeluruh terhadap kemenjadian mahasiswa.

Menurut beliau, penilaian tidak dibuat secara permukaan atau sekadar melihat jawatan yang disandang, sebaliknya menilai sejauh mana seseorang mahasiswa atau organisasi mampu memberi kesan sebenar kepada universiti, komuniti dan masyarakat.

“Penjurian Anugerah Tokoh Siswa UKM 2025 dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira peranan, impak, kepimpinan, pengiktirafan, keberkesanan penganjuran program, keupayaan membina jaringan, penjanaan dana serta keterlihatan mahasiswa di pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata, bagi kategori individu, penilaian memberi penekanan kepada peranan dan impak calon melalui penganjuran program terbaik, jawatan yang disandang, peringkat penganjuran, kelestarian, penajaan dana, kolaborasi jaringan serta penglibatan dalam program di pelbagai peringkat.

“Kita mahu memastikan anugerah ini benar-benar mencerminkan nilai kepimpinan yang hidup. Mahasiswa yang diraikan bukan sahaja aktif, tetapi mempunyai keupayaan untuk menggerakkan pasukan, membina jaringan, menyelesaikan masalah dan mencipta perubahan,” katanya.

Sebanyak 22 anugerah dipertandingkan dalam edisi kali ini, merangkumi empat anugerah utama, dengan keseluruhan pengiktirafan melibatkan empat kategori berkumpulan dan 18 kategori individu.

Leave a Reply