Bangunan Tan Sri Haniffa Peneraju Pendidikan Perundangan Digital di UKM

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi


BANGI, 18 September 2023 – Projek pembinaan Bangunan Tan Sri Haniffa di Fakulti Undang-Undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan langkah penting dalam usaha untuk menjadi peneraju dalam pendidikan perundangan digital.

Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah berkata, penting bagi pendidikan perundangan untuk terus mengikuti arus perubahan di dunia yang berteraskan teknologi dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Justeru, projek ini akan menjadikan UKM sebagai sebuah institusi terawal di Malaysia yang memiliki bangunan canggih dan moden bagi memastikan ia terus relevan dan terkemuka dalam dunia perundangan, katanya.

“Projek ini juga bakal memperluaskan jangkauan pembelajaran, merangsang penyelidikan dan inovasi perundangan, serta mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang semakin kompleks dalam dunia teknologi dan digital.

“Bangunan ini akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang terkini yang sesuai dengan peredaran zaman, dan ini akan membantu memastikan bahawa FUU UKM terus menjadi destinasi utama pelajar-pelajar yang ingin mengejar kecemerlangan dalam bidang undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tan Sri Haniffa di FUU UKM, semalam.

Bangunan ini juga akan menempatkan beberapa ruang pembelajaran aktif kepada FUU tetapi juga bilik-bilik seminar dan auditorium yang akan digunakan bagi tujuan simposium dan konferens.

Majlis yang sama turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persetujuan (MoA) antara Universiti MAHSA dan UKM yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dalam bidang undang-undang.

Leave a Reply