Bicara Patriotisme Beri Pemahanan Konsep Patriotisme 2 Negara

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 24 Ogos 2022 – Bicara Patriotisme yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Pusat Kesatria Universiti (KESATRIA-UKM) baru-baru ini adalah bertujuan untuk memberikan pemahaman mengenai konsep patriotisme di samping menyuburkan komitmen dan tanggungjawab rakyat terhadap bangsa dan negara.

Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata bicara itu merupakan platform terbaik buat UKM bagi memperkembangkan dan menguatkan jaringan antara universiti di peringkat global dan seterusnya menyumbang kepada kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam

pelbagai aspek termasuklan penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan.

“Program bicara ini bakal membuka satu paradigma baharu kepada seluruh warga UKM dan peserta yang hadir dalam menghayati pengorbanan para pejuang dahulu yang berusaha memartabatkan patriotisme dan kedaulatan kedua-dua buah negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Program Bicara Patriotisme di sini.

Program yang turut dihadiri oleh delegasi dari Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia itu menampilkan pemidato dari Indonesia dan Malaysia iaitu Laksmana Pertama TNI (Indonesia), Dr. Ir. I Nengah Putra A., Mej. Khairul Nizam Taib dari

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Prof. Dato’ Dr. Norazah berkata semangat patriotisme yang kuat merupakan tunjang kepada kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.

“Apabila memperkatakan tentang semangat patriotisme, adakah kita benar-benar menghayatinya dan apakah sumbangan yang telah kita lakukan untuk memartabatkan budaya kebangsaan, perpaduan serta integrasi nasional sesama keluarga Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya?

“Secara tuntasnya, keamanan dan kestabilan negara sama ada di Malaysia dan Indonesia bergantung kepada tahap kecintaan rakyat terhadap negaranya.

Jika dilihat, pemupukan semangat patriotisme bukan sahaja ketika hari kemerdekaan, tetapi semangat itu perlu sentiasa subur tersemat utuh dalam jiwa rakyat,” katanya.

Tambah beliau, isu berkaitan patriotisme sebenarnya amat luas dan sering dibincangkan pada peringkat global, bahkan turut ditekankan dalam sistem pendidikan bertujuan untuk membangunkan semangat jati diri generasi muda yang menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Isu ini juga sering dikaitkan dengan perjuangan yang menjiwai kepentingan bangsa dan negara bagi mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara,” katanya.

Bicara Patriotisme itu diadakan bagi meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia yang jatuh pada bulan Ogos.

Leave a Reply