CEE 2023 himpun lebih 50 syarikat besar

Oleh Kogileswari Vellisamy
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Mei 2023 – Program  Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan (CEE) 2023, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghimpunkan lebih 50 majikan tersohor dari pelbagai bidang termasuknya Maybank, The eCEos Sdn Bhd, EDAG, Finexus, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Linde Malaysia Sdn. Bhd., Syarikat YF.NG, Mehow Medical (M) Sdn. Bhd, Think Academy International Education Sdn. Bhd. dan Sunway Group bagi membuka peluang kepada graduan UKM dan sekitarnya.

Program CEE ini merupakan platform kepada pelajar dan graduan untuk berinteraksi dengan industri bagi mendapatkan maklumat tentang peluang pekerjaan dan bidang keusahawanan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, kadar kebolehpasaran graduan UKM meningkat sebanyak 6.2 peratus (%) iaitu dari 87.9% pada tahun 2021 kepada 94.1% bagi tahun 2022.

“Ini menunjukkan bahawa banyak industri sudah mula melihat kebolehan graduan-graduan universiti awam sekaligus berlakunya peningkatan dalam penawaran dan permintaan tenaga buruh,” katanya semasa memberi ucapan pada Majlis Pelancaran CEE  2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kebolehpasaran graduan UKM sememangnya menjadi fokus utama universiti dengan memperkukuh kurikulum sedia ada, meneroka peluang kerjaya baharu dengan mengubahsuai kurikulum yang ada, serta mempelbagai program sokongan pembangunan kerjaya masa hadapan.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier), Pusat Pembangunan Keusahawanan & IKS (UKM-CESMED), Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM), Yayasan Canselor dan Kelab Urusetia Kerjaya UKM (Career Buddies) atas penganjuran CEE 2023.

Pada majlis itu juga turut diadakan pelancaran buku Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan UKM 2023–2025 yang dihasilkan oleh UKM-Karier bagi menyokong Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi.

CEE turut membuka peluang kepada para pelajar dan graduan untuk mendapatkan khidmat semakan resume, tips temuduga dan nasihat kerjaya daripada rerurai yang didirikan oleh syarikat-syarikat luar.

Tai Yi Rui, pelajar tahun 1, Pusat Pengajian Citra berkata peluang ini amat membantu beliau dalam merancang hala tuju kerjaya dan mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang dan keperluan pasaran pekerjaan.

“Walaupun saya pelajar tahun 1, saya tetap mendapat pendedahan mengenai kerjaya kerana anjuran program seperti ini membuka minda untuk membuat rancangan masa hadapan. “Saya amat teruja apabila mendapat peluang untuk berinteraksi dengan industri-industri tersohor yang sanggup memberi maklumat kerjaya mengikut syarikat masing-masing”, katanya lagi.

Leave a Reply