Oleh Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Foto Izwan Azman
BANGI, 12 Januari 2026 – Pertandingan Debat Naib Canselor 2026 dan Pidato Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 2026 telah berjaya menghidupkan budaya wacana intelektual dalam kalangan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program tahunan ini bukan sekadar pertandingan berunsur retorik, sebaliknya menjadi pentas latihan kepimpinan yang mengasah keupayaan berfikir kritis, berkomunikasi secara berkesan dan mempertahankan idea dengan beretika.
Menurut Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, pertandingan tersebut yang diadakan setiap tahun adalah platform bagi membentuk kepimpinan mahasiswa.
“Debat dan pidato berperanan sebagai medan pembelajaran yang membina keberanian bersuara, ketajaman berfikir dan keupayaan mempertahankan pandangan secara beretika.
“Ia adalah proses penting dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan bertanggungjawab,” jelas beliau.
Debat Naib Canselor 2026 dan Pidato Timbalan Naib Canselor HEPA 2026 yang diadakan dalam dwi bahasa itu memperlihatkan kematangan hujah serta keberanian mahasiswa dalam mengupas isu-isu semasa.
Setiap sesi debat dan pidato menyaksikan pertarungan idea yang seimbang, bernas dan berfakta, sekali gus mencerminkan kesediaan pelajar untuk tampil sebagai intelektual muda yang peka terhadap realiti masyarakat dan cabaran masa hadapan.
Penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penaja bagi Debat Bahasa Melayu turut menjadi antara tarikan utama penganjuran kali ini.
Penajaan yang merangkumi wang tunai, hadiah iringan, sijil penghargaan serta sumbangan buku, bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan peserta, malah mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wacana akademik yang terus relevan di peringkat universiti.
Dalam pertandingan tersebut, Kolej Pendeta Zaaba muncul sebagai juara Debat Bahasa Melayu selepas menewaskan Kolej Ibrahim Yaakub dengan keputusan 4–3, manakala kategori Bahasa Inggeris menyaksikan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menewaskan Asasi Pintar UKM dengan keputusan 3–2.
Penganjuran pertandingan ini membuktikan komitmen berterusan UKM dalam menyediakan ruang pembangunan sahsiah dan intelektual mahasiswa.
Gelanggang ini bukan sahaja melahirkan pemenang pertandingan, tetapi turut membina generasi mahasiswa yang kritis, berkeyakinan dan bersedia memimpin dengan idea serta nilai.


