Fakulti Pergigian UKM Perkukuh Kerjasama Strategik Industri, Pacu Inovasi dan Kecemerlangan Pendidikan Pergigian

Oleh Zainal Asnawi Asyraf
Foto Ikhwan Hashim

Kuala Lumpur, 7 Januari 2026 – Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif bersama rakan industri terkemuka bagi menyokong pembangunan pendidikan dan penyelidikan pergigian negara.

Dua MoU telah dimeterai bersama ACME MD Global Sdn. Bhd. dan Mun Global Sdn. Bhd., manakala satu MoU serta Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif dimeterai bersama GC Asia Dental Pte. Ltd.

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan, pendidikan, peralatan kesihatan, program komuniti serta perkongsian kepakaran, selari dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.

Majlis pemeteraian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Bariah menegaskan bahawa kerjasama UKM dengan rakan industri mencerminkan pelaksanaan model inovasi Quadruple Helix yang mengintegrasikan akademia, industri, kerajaan dan masyarakat secara strategik dan bersepadu.

“Pendekatan ini memastikan agenda pendidikan, penyelidikan dan inovasi sentiasa selari dengan keperluan nasional serta kehendak komuniti, sekali gus melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Sebagai hasil signifikan kerjasama ini, satu geran penyelidikan berjumlah RM124,000 telah berjaya diperoleh bagi kajian bertajuk ‘Three-Dimensional Volumetric Analysis of Alloplastic Bone Grafts After Alveolar Ridge Augmentation and Preservation’.

Majlis yang sama turut meraikan Upacara Pemakaian Kot Klinikal Pelajar Prasiswazah Tahun 3 serta Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar Fakulti Pergigian UKM.

Prof. Dr. Bariah turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang bakal memulakan latihan klinikal dan menekankan kepentingan etika profesional serta penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan sebenar.

“Cemerlang dalam teori sahaja tidak mencukupi, pelajar juga perlu mahir secara praktikal. Lebih penting lagi, apabila mula merawat pesakit, saya menyeru agar pelajar sekalian berkhidmat dengan ‘jiwa’,” katanya.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom; Presiden GC Asia Dental Pte. Ltd, Maik Walther; Ketua Pegawai Eksekutif ACME MD Global Sdn. Bhd.,Wilson Ch’ng; serta Pengurus Kanan Pemasaran dan Penjenamaan Mun Global Sdn. Bhd., Lim Yi Jiun.

Leave a Reply