Empat Pelajar UKM Terima Biasiswa Yayasan Lotte

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Mei 2023 – Empat orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima biasiswa daripada Yayasan Biasiswa Lotte iaitu inisiatif sokongan pendidikan di Malaysia daripada Kumpulan Lotte menerusi Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT).

Dalam masa yang sama, sembilan orang pelajar dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) turut menerima biasiswa tersebut.

Biasiswa itu diberikan kepada pelajar cemerlang yang terdiri dari kalangan keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah yang diberikan secara ‘one-off’ iaitu sebanyak USD1,000 untuk diploma dan USD2,000 untuk ijazah sarjana muda.

Pengarah Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman berharap agar usaha ini akan memberi inspirasi kepada pelajar, bukan sahaja melalui pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi juga melalui pembangunan peribadi dan penglibatan dalam aktiviti bukan akademik.

“Kepada penerima basiswa yang terpilih, gunakanlah bantuan kewangan ini dengan bijak sepanjang anda perjalanan akademik sehingga tamat pengajian.

“Tambahan pula, penerima biasiswa hari ini pasti menunjukkan keupayaan anda untuk jadikan diri sebagai contoh yang terpuji bagi pelajar lain terutamanya mereka yang berada di kategori B40,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul, berkata pihaknya amat berbesar hati dapat memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

“Kerjasama aktif kami dengan UKM, PIS dan PTSN telah memainkan peranan penting dalam membantu pelajar dalam kejayaan akademik mereka.

“Pada masa sama ia juga membantu kami membina program perantis yang mantap dan menyediakan pelajar peluang kerjaya yang berharga,” katanya pada majlis penyampaian biasiswa itu yang diadakan di Bangunan Canselori UKM.

Leave a Reply