Dekan FKAB bentang 15 hala tuju fakulti

Oleh Nur Farah Liza Ramli
Foto Mohd Shahril Dzulkiflee

Bangi, 10 Mei 2023 – Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB),  Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab. Rahman membentangkan 15 hala tuju fakulti semasa menyampaikan amanat kedekanan di Majlis Amanat Dekan sempena 100 hari pelantikan beliau sebegai dekan.

Dalam ucapannya, beliau telah memperjelaskan secara terperinci hala tuju tersebut bagi menyepadukan semangat semua warga, alumni, industri dan rakan kolaborasi FKAB. 

Setiap satu hala tuju itu diperluaskan dengan gerak kerja yang dilaksanakan oleh beliau sebagai dekan dalam membawa FKAB menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik bertaraf dunia.

“Salah satu yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan prasarana FKAB  bertaraf antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelajar yang berpotensi melanjutkan pengajian di sini (FKAB).

“Hal ini dapat meningkat penjanaan, selain dapat menyerlahkan hasil penyelidikan yang berimpak kepada universiti. Setiap lorong dan ruang yang ada di FKAB ini tidak akan dipersiakan,dan setiap sudut akan memberi manfaat kepada warga FKAB,” katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Pro Naib Canselor (Strategi & Pembangunan Korporat), Prof. Dato’ Dr Roslee Rajikan itu turut diadakan beberapa inisiatif baru dan pelancaran produk seperti Buku Pelan Strategik, Buku Mewah Misi Bantuan Kasih, Buku Direktori Kepakaran, Buku Dean Notes, Majalah Reka & Bina, Majalah KESUTRA, Buku Inovasi Dalam Akademik, Syarikat Terbitan Universiti (STU), Produk STEM, Pejabat Jurnal Kejuruteraan, Pejabat Mobiliti dan Kolaborasi, Pusat Kejuruteraan Termaju dan Kelab Dron & Futuristik FKAB. Pada majlis itu, pasukan Kelab Dron & Futuristik UKM telah menerbangkan empat buah dron di dalam Auditorium Akademia Siber Teknopolis (AST) sebagai gimik  perasmian.

Leave a Reply