Oleh Siti Aisyah Wahama
Foto Fakulti Perubatan
BANGI, 14 September 2026 – Ancaman pencemaran udara dan fenomena jerebu yang kini melanda negara menjadi petanda jelas bahawa perubahan iklim merupakan krisis kesihatan awam yang amat mendesak yang mengakibatkan penularan penyakit.
Ketua Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozita Hod berkata cuaca El-Nino dan kemarau berpanjangan menyebabkan tanah gambut terbakar di bawah permukaan, manakala tiupan angin membawa asap tebal dari Kalimantan dan Sumatera merentasi ruang udara Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.
“Pencemaran udara akibat kebakaran hutan dan bahan api fosil mengeluarkan gas rumah hijau dan zarah terampai meningkatkan kejadian penyakit paru-paru seperti asma, bronkitis dan penyakit jantung,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk ‘Perubahan Iklim dan Kesan ke Atas Kesihatan Manusia: Penularan Penyakit Berjangkit dan Tidak Berjangkit’.
Menurut beliau, dari sudut perubatan, asap kebakaran hutan mengandungi zarah mikroskopik berukuran diameter hanya 2.5 mikron, iaitu jauh lebih kecil berbanding sehelai rambut manusia yang berdiameter antara 50 hingga 70 mikron.
“Asap kebakaran hutan merupakan campuran toksik yang mengandungi zarah mikroskopik yang mampu menembusi salur tenggorok hingga ke alveoli paru-paru dan seterusnya memasuki sistem aliran darah.
“Zarah mikroskopik ini menghasilkan radikal bebas yang berbahaya dan menyebabkan kerosakan sel dan keradangan sistemik yang menyebabkan penggumpalan darah dan membentuk plak pada salur darah kita,” jelas beliau.
Selain ancaman jerebu dan pencemaran udara, Prof. Dr. Rozita turut menyentuh secara ringkas beberapa impak kesihatan lain akibat perubahan iklim, khususnya perubahan corak taburan hujan dan panas yang mengakibatkan penularan penyakit bawaan vektor.
“Air hujan menyebabkan terdapatnya kehadiran tempat-tempat pembiakan nyamuk seperti nyamuk Aedes, dan ini boleh menyebabkan berlakunya wabak demam.
“Kejadian banjir ekstrem juga boleh membebankan infrastruktur sanitasi tempatan dan mencetuskan wabak cirit-birit dan leptospirosis, serta mengakibatkan trauma psikologi seperti stres akut dan kemurungan akibat kehilangan harta benda,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa masyarakat berpendapatan rendah, warga emas dan kanak-kanak merupakan pihak yang menanggung beban kesan kesihatan yang paling teruk.
“Sektor kesihatan mesti mempunyai keupayaan untuk membina sistem yang berdaya tahan iklim menerusi penilaian risiko yang menyeluruh serta pelaksanaan strategi mitigasi dan adaptasi yang berkesan,” katanya.


